Esok Hari Penentu Masa Depan Negara, Pilih BN Demi Kestabilan Dan Kemakmuran Negara

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap rakyat untuk rasional pada hari pengundian esok.

Katanya ini kerana negara tidak boleh untuk mengharungi kembali era ketidakstabilan yang telah merosakkan kemakmuran sejak PRU14 lalu.

“Esok merupakan hari buat rakyat Malaysia menentukan masa depan negara menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang merupakan sebuah proses demokrasi bagi memulangkan mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan.

“Membuat pilihan gabungan politik manakah yang akan membentuk kerajaan untuk Malaysia selepas 19 November 2022, syukur alhamdulillah kerana usaha Barisan Nasional (BN) rakyat berpeluang membentuk semula sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh.

“Benar BN berada dalam kerajaan campuran sehingga 10 Oktober 2022, namun demi kepentingan negara inilah suatu pengorbanan. Antara kuasa dan kemaslahatan negara, BN memilih untuk memulangkan hak rakyat di atas lunas demokrasi yang tulen,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pengerusi BN itu juga dalam pada masa sama berharap untuk rakyat mengenepikan apa jua sentimen politik dan berpadu untuk membentuk kembali kerajaan BN yang dominan.

Jelas beliau dengan kemelesetan ekonomi global yang diramalkan berlaku pada tahun depan oleh banyak badan kewangan antarabangsa sememangnya membimbangkan.

“Rakyat yang akan menjadi mangsa jika negara terus ditadbir sebuah kerajaan yang tidak stabil kerana dalamnya terdapat ‘musuh dalam selimut’.

“Mengundi Pakatan Harapan (PH) bermakna anda mengundi sebuah fakta kegagalan, manakala mengundi Perikatan Nasional (PN) sekadar memecahkan undi kita.

“Berilah kemenangan mutlak kepada BN kerana ini gabungan yang telah terbukti mampu serta berwibawa membawa kestabilan di bumi Malaysia.

“Lalu kali ini lontarkanlah semula peluang kepada BN demi usaha dan harapan memperbaiki segala kerosakan yang berlaku sejak 9 Mei 2018,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.