Obsesi BN Bantu Rakyat, Johan Minta Pengundi Tekad Beri Peluang Di Hulu Langat

HULU LANGAT, 17 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz mengakui bahawa membantu rakyat merupakan obsesi beliau terutama dalam menyelesaikan isu-isu yang diajukan kepada dirinya.

Namun begitu kata Johan, menjadi sedikit terbatas buat beliau kerana sebagai pemimpin parti pembangkang di Selangor sudah semestinya dirinya mempunyai kesukaran tertentu apatah lagi bukan wakil rakyat bagi kawasan terbabit.

“Kelmarin ada satu kes, tempat pembuangan sampah depan taman perumahan dia, sudah lama mengadu dan mahu tindakan segera. Ada orang yang bukan jiwa hendak membantu dia akan tertekan, kalau tidak ada jiwa susahlah tapi saya bila dengar akan cuba selesaikannya.

“Saya juga ada pergi ke 11 buah rumah yang banjir, mereka minta tolong kemudian saya hubungi pegawai daerah namun dia jadi pegawai membantu calon di Parlimen Bangi, bukan hendak mengelak tapi itulah kesukarannya.

“Sekiranya saya menjadi Ahli Parlimen senang hendak panggil mesyuarat uruskan masalah tapi jika tidak jadi pun saya akan membantu berdasarkan kapasiti yang ada namun amat terhad,” katanya.

Mengulas lanjut beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada masa sama berkata Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini membawa cabarannya tersendiri apabila pencalonan hanya membabitkan kerusi di Parlimen.

Namun jelas beliau, gerak kerja serta kerjasama yang baik antara jentera merupakan tonggak utama bagi merampas kembali Hulu Langat daripada Pakatan Harapan (PH).

“Kita berkempen sampai 18 Nov namun bekerja sampai pintu pusat pengundian tutup, jangan dalam keadaan selesa sebab kita lawan PH, mereka kerajaan di Selangor jadi sentiasa saya ingatkan jentera bekerja bersungguh-sungguh sampai ke 19 Nov.

“Saya tengok PRU15 ini memang agak mencabar sebab dahulu DUN dan Parlimen bertanding sekali jadi lebih senang tapi kali ini semuanya kena pergi dengan 42 Pusat Daerah Mengundi,” ujar beliau.

Untuk rekod, Johan pada PRU15 ini akan berdepan dengan saingan enam penjuru iaitu calon daripada PH, Perikatan Nasional, Pejuang, Warisan dan Bebas. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.