Khaled: Tiada Perbincangan BN, Gabungan Lain Untuk Bentuk Kerajaan

KOTA TINGGI, 16 Nov – Tiada sebarang perbincangan dibuat mengenai Barisan Nasional (BN) akan bergabung dengan mana-mana parti atau gabungan lain bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Kota Tinggi berkata semua calon dan kepimpinan BN termasuk ‘Top 5’ parti ketika ini menumpukan kepada aktiviti berkempen di kawasan masing-masing bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada pilihan raya ini.

“Saya percaya semua itu (soal gabungan dengan parti lain) dibangkitkan kerana mereka tengok BN akan menang, jadi semua cuba memposisikan parti masing-masing supaya BN ‘melamar’ mereka,” katanya kepada pemberita selepas program Ramah Mesra Bersama Veteran UMNO Kota Tinggi di Bilik Gerakan Felda Pasak, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media yang memetik kenyataan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Kota Bharu pada Isnin, yang menyatakan bahawa Perikatan Nasional (PN) yakin dapat membentuk kerajaan dengan gabungan parti lain terutamanya BN pada PRU15.

Bagaimanapun Takiyuddin dalam satu kenyataan berasingan semalam mendakwa, kenyataan beliau berhubung kerjasama PN dan BN selepas PRU15 telah diambil di luar konteks manakala tajuknya juga adalah mengelirukan pengundi.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata beliau yakin mampu memenangi kerusi Parlimen Kota Tinggi berdasarkan sambutan dan penerimaan rakyat sepanjang hampir dua minggu berkempen dan akan mempergiatkan usaha untuk menarik golongan muda.

“Saya berpuas hati dengan penerimaan masyarakat dan pengundi di Kota Tinggi setelah beberapa hari berkempen.

“Sudah masuk fasa terakhir dari segi jentera sangat bersemangat dan komited untuk memperjuangkan kemenangan,” kata bekas Menteri Besar Johor itu sambil menyatakan keyakinan bahawa momentum kejayaan Pilihan Raya Negeri itu pada Mac lepas dapat dikekalkan.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Gudang itu turut menangkis dakwaan pengundi muda enggan menyokong BN dan menyifatkan pandangan itu sebagai perspektif yang tidak tepat.

“Orang muda ini akan semak latar belakang calon termasuk pengalaman dan keupayaan untuk membangunkan kawasan. Saya percaya mereka pengundi berpengetahuan dan akan pilih yang terbaik,” katanya yang turut yakin akan mendapat sokongan penuh pengundi veteran UMNO.

Mohamed Khaled bakal menghadapi saingan tiga penjuru di Kota Tinggi menentang Mohd Ridhwan Rasman (PN-Bersatu) dan Onn Jaafar (PH-Amanah). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.