Kestabilan Dan Kemakmuran… Rakyat Rindu Zaman Pemerintahan UMNO/BN

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Hanya UMNO/Barisan Nasional (BN) yang mampu untuk membawa negara ke arah kestabilan dan kemakmuran berdasarkan daripada rekod lebih 60 tahun memerintah.

Menerusi tinjauan UMNO Online, rata-rata rakyat merindukan zaman pemerintahan UMNO/BN yang sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum.

Salah seorang pengundi di daerah Bagan Datuk, Datuk Faizal Redzuan, 47, berkata pengalaman yang dilalui selama 22 bulan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sangat tidak menyenangkan rakyat.

“Rata-rata kita dengar keluhan rakyat dan orang ramai bahawa hanya UMNO/BN yang dapat membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara. Parti-parti yang lain kita dah rasa dan lalui.

“Selama 22 bulan, apa yang kita lalui dan hadapi sangat-sangat tidak menyenangkan rakyat Malaysia. Alhamdulilah Allah telah memudahkan segala urusan dan sehingga ke hari ini kita dapati bahawa hanya UMNO/BN yang dapat memberikan kestabilan dan kemakmuran,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Faizal, UMNO/BN juga adalah parti yang sentiasa menitikberatkan agama dalam membawa bangsa dan negara maju ke hadapan.

“UMNO/BN adalah satu kerajaan yang boleh membawa kestabilan dan menitikberatkan isu keagamaan dalam membawa bangsa dan negara maju ke hadapan.

“Kepada semua para pengundi, ayuh kita bersatu hati, siapa pun calon yang diletakkan sama-sama kita sokong kerana inilah peluang untuk menzahirkan serta menyokong aspirasi UMNO/BN bagi membawa kemakmuran kepada negara kita yang tercinta.

“Sama-sama kita doakan semoga bermula detik bersejarah pada 19 November nanti apabila kesemua calon yang bertanding atas tiket UMNO/BN akan menang dengan majoriti besar, lebih daripada 112 kerusi dan dapat membentuk kerajaan penuh serta solid,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Khalidah Abdullah, 56, turut mengakui bahawa sebenarnya rakyat Malaysia sudah terbiasa dengan corak pemerintahan UMNO/BN yang banyak menabur jasa kepada rakyat.

“Bagi saya wajib untuk UMNO/BN menang sebab kita rakyat Malaysia ini sudah terbiasa dengan mereka. Banyak jasa yang mereka taburkan sejak dari zaman datuk nenek kita.

“…yang 22 bulan tu kita dah lalui betapa seksanya. Kalau mereka (pengundi) belum sedar lagi tak tahulah. Kita bukan taksub tetapi kita tahu yang mana benar dan salah,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas mengenai janji-janji palsu yang cuba dikitar semula oleh PH, Khalidah menganggap semua itu tidak diperlukan oleh rakyat.

“Janji palsu buat apa, fitnah dia (PH) banyak berlambak. Tak payah. Kita sedar diri sebab dah lama dah hidup. Kita kena yakin dan percaya dengan pemimpin kita (UMNO/BN). Pemimpin memang silih berganti tetapi mandate berterusan.

“Kita kena bersatu hati dan berpakat untuk menangkan semula UMNO/BN kerana kita rindukan zaman pemerintahan mereka yang sentiasa tidak pernah meninggalkan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.