BN Perlu Menang Dahulu Baru Fikir Pasal Kabinet – Ismail Sabri

KUALA SELANGOR, 15 Nov – Barisan Nasional (BN) perlu fokus untuk mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum memikirkan mengenai barisan Kabinet yang baharu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata bagaimanapun beliau akan memastikan saiz Kabinet yang akan dibentuk nanti adalah lebih kecil berbanding jumlah menteri sekarang dengan menggabungkan beberapa kementerian.

“Jadi kita kena menang dulu, kalau tak menang saya pun tak jadi Perdana Menteri. BN mesti menang dahulu… selepas menang BN, insya-Allah saya akan ambil kira semua kepentingan, kena ada teknokrat, kena ada ahli politik.

“Cuma saya bagi jaminan bahawa yang saya akan kecilkan Kabinet saya kerana Kabinet sekarang terlalu besar… ini janji saya tetapi siapa yang menjadi Menteri Kabinet akan saya tentukan,” katanya kepada media selepas Program Santai Anak Muda Kuala Selangor di Puncak Alam, malam ini.

Turut hadir Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga calon BN di Parlimen Kuala Selangor.

Mengenai dakwaan pihak Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan bahawa BN meniru manifesto mereka mengenai pemberian taraf kerakyatan kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia, Ismail Sabri berkata BN juga boleh mengatakan perkara yang sama kepada parti itu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menaruh keyakinan kepada Tengku Zafrul untuk memenangi kerusi Parlimen Kuala Selangor pada pilihan raya ini.

“Saya terkejut dengan sambutan (rakyat) begini hebat dan saya percaya apa yang digambarkan malam ini itulah yang akan menjadi undi kepada Tengku Zafrul nanti.

“Saya percaya yang datang ramai-ramai malam ini menunjukkan sokongan kepada Tengku Zafrul dan saya yakin beliau boleh memenangi kerusi di Kuala Selangor,” katanya.

“Insya-Allah jika Tengku Zafrul menang, dia akan berada di dalam Kabinet, Kuala Selangor bertuah kerana mempunyai calon yang hebat, saya harap kita sama-sama nobatkan Tengku Zafrul sebagai Ahli Parlimen Kuala Selangor,” katanya. — BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.