Tok Mat Seru Pengundi Awal Buat Keputusan Bijak, Kerajaan Stabil Dan Mantap Amat Perlu

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru para pengundi awal untuk memberikan mandat sepenuhnya kepada BN bagi menubuhkan kerajaan yang stabil dan mantap.

Jelasnya, kerajaan campuran akan menyukarkan proses membuat keputusan dilakukan kerana terdapat pelbagai parti yang terlibat dalam menguruskan negara.

“Esok hari pengundian awal. Saya mohon kepada semua warga pengundi awal, berikanlah sokongan kepada BN kerana selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ini, Malaysia memerlukan kerajaan yang mantap, stabil dan kuat.

“Kita tidak mampu lagi nak ada kerajaan campuran yang ditadbir berbagai parti. Sampai lima buah parti menubuhkan kerajaan, sehinggakan untuk menguruskan negara menjadi masalah besar.

“Masing-masing perlu merujuk kepada parti. Selepas itu, terpaksa diadakan ‘President Council Meeting’. Kita tidak boleh menguruskan negara sebegini,” katanya pada satu sidang media yang diadakan di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO itu turut mengajak rakyat supaya memulangkan mandat kepada parti yang dominan untuk mengurus negara dengan baik sejak Merdeka sehingga PRU ke-13 lalu.

“Kita mesti pulangkan semula negara ini supaya diurus oleh satu parti yang dominan untuk menguruskan negara seperti mana yang kita pernah lalui sejak merdeka sehingga PRU ke-13. Itulah rahsianya Malaysia dapat diurus dengan baik sehingga amat disegani negara-negara lain.

“Kita (Malaysia) jadi pemimpin dunia ketiga. Suara Malaysia lantang, didengari di peringkat antarabangsa kerana kita kuat dan mempunyai kerajaan yang kukuh,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad Hasan turut mengajak rakyat Malaysia untuk membuat pilihan yang tepat kerana kerajaan kuat hanya akan terhasil daripada parti yang memenangi dua pertiga majoriti semasa PRU.

“Kerajaan kuat adalah hasil daripada pilihan raya yang kita mempunyai suara dua pertiga majoriti. Kalau rakyat Malaysia mahukan kerajaan ini kembali semula, saya mohon terutamanya kepada pengundi awal supaya buat keputusan dengan baik.

“Kita tidak mahu lagi mengulangi keadaan apabila kerajaan terpaksa bertukar-tukar tangan sampai tiga kali dalam satu penggal. This is not good at all for our country.

“Keadaan begini menyebabkan orang luar tidak mahu berurusan dengan kita terutamanya peniaga atau pelabur kerana keadaan negara yang sering bertukar tampuk pemerintahan,” katanya lagi.

Pakatan Harapan (PH) jelas gagal bukan sahaja dalam bab menunaikan janji, malah membuktikan bahawa mereka tidak mampu untuk mentadbir negara khususnya dalam aspek pengurusan ekonomi.

Sebagai contoh, hutang kerajaan meningkat kepada RM741 bilion daripada RM686 bilion, KDNK negara menjunam (51.8% kepada 50.7%), Rizab Antarabangsa Bank Negara menjunam teruk (USD 109.4 bilion kepada USD 102.1 bilion), nilai ringgit merosot pada kadar RM3.94 bagi setiap 1 USD dan lebih RM30 bilion aset negara dijual. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.