Penyokong Pas Dukung MN Berpotensi Pilih BN Pada PRU15 – Hasmuni

KUBANG PASU, 14 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hasan yakin dengan sokongan daripada penyokong Pas yang mengharapkan kerjasama Muafakat Nasional (MN).

Katanya ini kerana, beliau masih mempunyai hubungan yang baik daripada penyokong parti itu dan percaya bahawa mereka akan memilih BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai menzahirkan sokongan kepada kerjasama UMNO-Pas sebelum ini.

“Saya turun ke akar umbi, berjumpa dengan penyokong Pas yang tidak menjadi ahli parti mereka berasa rindu dan kasih malah amat mengharapkan MN ini berlaku.

“Melihat kepada ini saya juga yakin di dalam PRU15 ini sebahagian daripada penyokong akan membuat pilihan yang tepat dan terbaik iaitu BN,” katanya.

Hasmuni yang juga Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata, beliau menghormati MN kerana ianya sebagai simbolik kepada penyatuan dua parti terbesar Islam/Melayu.

“Di tempat saya pun dengan ahli Pas selepas MN dibentuk malah sebelum itu lagi kita agak rapat sebab kami duduk di sini sebagai anak tempatan kenal satu sama lain saya amat menghormati dan menyanjungi MN yang telah kita meterai pada 14 Sept 2019.

“Peristiwa bersejarah yang berlaku lelehan air mata ahli UMNO dan Pas tidak pernah kita gambarkan selepas permusuhan yang berlaku semenjak Dis 1977.

“Bagi saya tidak sepatutnya berlaku dalam PRU15 ini di mana pelbagai rundingan yang telah kita lakukan demi penyatuan umat,” ujar beliau.

Terdahulu Pas pada PRU15 ini memilih untuk bersama dengan Perikatan Nasional (PN) selepas berteka-teki berkenaan status MN yang dijalin bersama UMNO.

Hasmuni pada 19 Nov ini akan berdepan dengan saingan empat penjuru iaitu calon daripada Pakatan Harapan, PN dan Pejuang.

Untuk rekod Kubang Pasu merupakan kubu kuat BN sejak awal PRU diadakan, namun 2018 mencatatkan sejarah tersendiri apabila kerusi tersebut pertama kali dimenangi oleh parti lawan pada PRU14. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.