Pembangkang Terdesak Tabur Fitnah, Lagakan Pemimpin BN – Khairul Hisham

INDERA MAHKOTA, 14 Nov – Pembangkang memainkan propaganda untuk melaga-lagakan pemimpin Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 adalah satu tindakan yang terdesak, menurut calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu, Khairul Hisham Omar.

Katanya, taktik itu menunjukkan bahawa mereka ketandusan idea sehingga terpaksa menggunakan strategi yang lapuk untuk mempengaruhi rakyat.

“Pembangkang sebenarnya tiada idea tetapi mereka ingin melaga-lagakan pimpinan BN supaya rakyat terkeliru tapi sebenarnya ini bukan perkara yang baik dan bukan satu politik yang sihat. Mempengaruhi yang tidak baik ini sama dengan mencipta manifesto yang palsu.

“Saya percaya rakyat tidak terpengaruh dan juga menerima ideologi kempen pembangkang sebegini. Hendak melaga-lagakan pemimpin BN ini bukannya satu perkara yang elok.

“Pembangkang ini dulu menghasut… dia nampak menghasut ini boleh meraih kejayaan dengan hasutan tapi hanya 22 bulan jangka hayat. Begitu juga fitnah memang tidak boleh pergi jauh sebab zaman sekarang rakyat memanfaatkan teknologi,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Tambah Hisham lagi, segala maklumat ada di hujung jari sama ada yang betul atau tidak malah separuh betul juga harus dinilai dengan sebaiknya.

“Kita boleh buat andaian serta menilai dan percaya masyarakat sekarang ini yang cerdik pandai boleh memikirkan yang terbaik untuk masa depan negara.

“Ini penting kerana hari ini cabaran lebih besar dan cabaran kini dengan teknologi jauh ke depan dan menghadapinya. Kalau dulu berhadapan dengan separa teknologi tetapi sekarang ini ramai yang kenal teknologi,” ujarnya

Tegasnya, inilah perancangan pimpinan BN yang melihat jauh ke depan agar masyarakat tahu teknologi yang dibina oleh parti tersebut. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.