Lima Teras Iltizam Dr Asyraf Untuk Kepentingan Rakyat Gerik

GERIK, 14 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gerik Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meletakkan lima teras yang menjadi asas kepada komitmennya jika dipilih mewakili rakyat di kawasan itu.

Katanya, lima teras yang menjadi iltizamnya itu adalah hasil daripada pertemuannya sepanjang seminggu bersama rakyat yang mempunyai pelbagai latar belakang di dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Teras yang pertama adalah berkenaan dengan infrastruktur. Apa harapan rakyat Gerik agar infrastruktur asas seperti jalan raya seperti jalan Gerik ke Jeli dan jalan Gerik ke Lenggong dapat dibaik pulih supaya dapat menjamin keselesaan dan memelihara keselamatan pengguna itu sendiri.

“Kedua, soal air. Ada kampung-kampung yang masih bergantung sepenuhnya kepada bekalan air bukit. Isunya adalah faktor kesihatan juga kerana dalam keadaan musim tertentu seperti musim hujan air menjadi keruh, jadi apa lagi sumber air yang bersih bagi mereka.

“Ketiga, isu ‘connectivity’ (internet). Ini adalah satu keperluan asas. Ini teras yang pertama soal infrastruktur atau kemudahan asas,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu lagi, teras yang kedua adalah dari segi kesihatan.

“Yang diharapkan oleh rakyat Gerik di Pengkalan Hulu umpamanya klinik dinaik taraf supaya menawarkan secukupnya perkhidmatan bersalin tanpa memerlukan mereka pergi ke Baling.

“Yang ada isu lain seperti anak-anak terpaksa beridentitikan 02 (kod negeri di dalam kad pengenalan) Kedah sedangkan mereka ini mahu terus semangat kenegerian negeri Perak (08).

“Begitu juga dengan hospital pakar di Gerik ini. Kita perlu naik tarafkan ia seperti kes-kes yang melibatkan kemalangan contohnya tidak perlu rujuk ke hospital Taiping atau Ipoh, yang melibatkan soal nyawa berada pada tahap berisiko,” katanya.

Manakala teras ketiga, Dr Asyraf merujuk kepada pengembangan potensi eko pelancongan di Gerik.

“Yang ketiga, kita melihat Gerik dengan kurniaan tuhan alam sekitar yang nyaman, segar, hidupan flora dan fauna yang unik, keadaan alam semulajadi gunung-ganang, sungai yang menarik dan pelancong boleh pergi ke gunung untuk melihat awan nano.

“Bagaimana eko pelancongan ini dapat kita kembangkan dan kita bangunkan, sekaligus menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak muda tanpa perlu mereka berhijrah ke luar,” ujarnya.

Seterusnya teras keempat mengenai bidang pendidikan.

“Institusi pengajian tinggi yang diharapkan oleh rakyat Gerik boleh dilaksanakan dengan membina kampus-kampus satelit umpamanya, cawangan universiti menawarkan R&D (penyelidikan dan pembangunan) dalam bidang-bidang yang berkaitan alam sekitar, agro pelancongan, eko pelancongan, alam habitat semula jadi, bio diversiti.

“Di samping menawarkan kursus-kursus jangka pendek dan jangka panjang peringkat sijil dan diploma. Untuk anak-anak muda menerokai bidang yang saya sebutkan tadi termasuk juga dalam konteks agro, aspek hospitaliti perhotelan, pelancongan yang akan menambah nilai kepada industri ini apabila dibangunkan kelak,” jelasnya.

Teras terakhir, kelima katanya adalah pusat riadah yang sempurna bagi anak-anak muda.

“Banyak saya lihat bila pergi ke kampung-kampung padang bola tak terurus, gelanggang futsal yang rosak teruk. Ini adalah perkara asas yang penting untuk anak-anak muda beriadah dan ini harus diperbaiki.

“Di samping saya melihat bahawa perlu ada pusat rekreasi atau komuniti dan belia ‘one stop centre’ dengan pelbagai kemudahan termasuk fasiliti untuk mereka yang hendak bersukan, bermain e-sport dan lepak santai berilmu.

“Jadi ini yang kita boleh tawarkan kepada anak-anak muda di samping peluang-peluang pekerjaan apabila ekonomi dikembangkan dalam bentuk eko-sistem pelancongan, pendidikan,” tambahnya.

Justeru katanya, semua lima teras itu saling berkait rapat dan yang paling penting sekali adalah mengekalkan keunikan Gerik dengan alam sekitar semula jadi serta jangan sekali-kali digadaikan kelestarian alam sekitar. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.