Sokongan Kaum India Kepada BN Meningkat – Zahid

BAGAN DATUK, 13 Nov – Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin dengan sokongan masyarakat India khususnya di kawasan ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, komitmen itu dapat dilihat dengan kehadiran pemimpin dan badan bukan kerajaan (NGO) hadir ke Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti Telugu hari ini.

Bersama Masyarakat India

“Pelbagai pemimpin parti-parti politik India, NGO ke Bagan Datuk untuk memberikan sokongan kepada calon BN.

“Mereka mempunyai komitmen bahawa calon-calon BN harus didokong dan sebagai mana saya nyatakan bahawa pengundi-pengundi India telah berbalik kepada BN kini di tahap antara 30 hingga 45 peratus,” katanya ketika ditemui media selepas berlangsungnya program berkenaan di Dewan Sri Venkateswara hari ini.

Bagaimanapun beliau yang juga penyandang bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk itu pada masa sama berharap kepada peningkatan undi daripada masyarakat itu bagi memastikan kemenangan selesa BN khususnya sokongan daripada pengundi baharu.

“Saya harap ini akan meningkat dengan usaha-usaha dengan pemimpin masyarakat India daripada pelbagai parti politik, NGO termasuk Persatuan Telegu umpamanya sangat komited dengan BN dan anak-anak muda masyarakat ini saya yakin kali akan mengundi BN

“Ini merupakan satu gelombang baharu yang berlaku kepada calon-calon UMNO/BN dengan sokongan pelbagai kaum,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau pada masa sama turut memberikan respon berkenaan kenyataan Datuk Seri Anifah Aman berkenaan beliau.

Jelas Ahmad Zahid tawaran senator dan menteri kepada Anifah itu adalah disebabkan menghargai tokoh tersebut yang berpengalaman berada dalam Kabinet negara.

“Insya-Allah sekiranya tiba masanya kerana beliau mempunyai pengalaman dan berintegriti tinggi sebagai menteri luar negara selama sembilan tahun dan ini tentunya beliau adalah aset kepada negara kita,” katanya.

Terdahulu, Anifah yang juga bekas menteri luar  selama dua penggal itu memaklumkan Ahmad Zahid berharap beliau tidak bertanding di Parlimen Sepanggar bagi memberi laluan kepada calon UMNO/BN. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.