Sentiasa Beri Khidmat Bakti, Arrif Tidak Asing Bagi Penduduk Padang Rengas

PADANG RENGAS, 13 Nov – Berperwatakan mudah mesra dan hampir dua dekad memberi khidmat bakti kepada rakyat membuatkan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Padang Rengas, Datuk Mohd Arrif Abdul Majid dikenali dan tidak asing di mata penduduk di kawasan itu.

Anak jati kelahiran Kampung Jamuan, di sini itu berkata, sepanjang tempoh berkempen, rata-rata masyarakat yang dijumpai akan menyapanya dengan berkata “Oh… orang sini… orang ‘kite’” dan kerana itulah Arrif memperkenalkan dalam kempennya dengan tanda pagar ‘Orang Kite’.

Tambahan pula ujarnya lagi, beliau sering mengiringi dan banyak membantu penyandang kerusi itu sebelum ini Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di dalam program-program yang melibatkan khidmat bakti.


“Jadi itu satu kelebihan kepada saya kerana jadi ketua pemuda di sini sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan selama empat penggal; lebih kurang 18 tahun. Saya jadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Padang Rengas dah dua penggal (sepuluh tahun).

“Jadi dalam tempoh seminggu saya berkempen, itu antara perkara yang baik bagi saya kerana saya sudah bekerja selama sepuluh tahun di kawasan Parlimen Padang Rengas.

“Khidmat bakti saya, program bersama orang muda, program pesta panjut (di Kampung Ribu) yang saya buat sebelum ini lima tahun berturut-turut. Jadi orang mudah mengenali saya. Tambahan pula kepada ahli-ahli UMNO semua,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Negeri Perak kepada UMNO Online.

Ulasnya lagi, BN sentiasa amalkan politik khidmat bakti berbanding pihak lawan yang ketandusan modal hanya bermodus operandi menyerang peribadi pemimpin BN.

“Inilah parti dan pemimpin yang perlu dicontohi kerana kita tidak menghentam peribadi individu dan kita BN akan menceritakan apa yang hendak kita buat kepada rakyat.

“Memang terbukti selama hari ini apa yang BN buat untuk rakyat, banyak pembangunan, khidmat bakti, kita membantu rakyat. Jadi saya rasa janganlah tersalah pilih lagi,” ujarnya.

Justeru, Arrif mengambil kesempatan berpesan kepada pengundi muda dan pengundi pertama kali agar tidak terpengaruh dengan janji palsu sebagaimana yang terjadi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Saya hendak memesan kepada anak muda tambahan pula pengundi kali pertama. PRU14 memang kita dihukum oleh orang muda dan rakyat. Kebanyakannya anak muda nak ubah dan mereka terpengaruh dengan janji-janji palsu yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) di ketika itu.

“Dengan minyak turun harga, tol percuma, PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) akan dimansuhkan bayarannya. Jadi, ini semua kita tahu selama 22 bulan mereka mentadbir, apapun mereka tak buat, (harga) minyak pun tak turun, tol pun tidak percuma.

“Kali ini kita jangan terpengaruh lagi dengan janji-janji mereka takut janji palsu lagi. Akhir sekali Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad – Perdana Menteri PH) kata manifesto bukan kita suci. Jadi saya rasa kali ini pun tidak mustahil PH akan buat perkara yang sama,” tegasnya.

Oleh kerana itulah beliau menyeru dan merayu kepada anak muda dan pengundi kali pertama supaya pilih BN dalam PRU15 ini.

“BN telah terbukti 60 tahun mentadbir negara ini dengan baik. Tidak ada yang tertinggal dan janji-janji kita biasanya kita tunaikan, insya-Allah.

“Selain itu kita peganglah pada manifesto BN kestabilan dan kemakmuran. Kalau kita hendakkan negara ini stabil dan makmur kita pilih BN,” serunya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.