Dr Hafiz Mahu Tarik Pelabur Ke Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa

PENGKALAN CHEPA, 13 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Mohd Hafiezulniezam Mohd Hasdin, 38, mahu memberi tumpuan serius dalam aspek peluang pekerjaan bagi mengatasi kadar pengangguran yang tidak terkawal di negeri ini.

Beliau yang dikenali sebagai Dr Hafiz PC, Gu Kito memberitahu bahawa peluang pekerjaan merupakan tunjang kehidupan dalam sesebuah keluarga dan tanpa peluang pekerjaan anak muda tidak ada hala tuju untuk merangka kehidupan mereka.

“Prinsip anak muda seperti saya jelas mahu peluang pekerjaan diberi perhatian serius. Kita sedia maklum bahawa sejumlah 70 ribu golongan muda tidak bekerja dan terperangkap dalam dunia pengangguran.

“Justeru, sekiranya Pengkalan Chepa sebagai kawasan perindustrian di negeri ini tidak ada pembaharuan dari segi pelaburan saya yakin tapak industri di kawasan ini hanya tinggal kenangan sahaja.

“Lebih menyedihkan semakin hari Pengkalan Chepa semakin sepi sebagai bandar industri. Sebab itu saya nampak perkara ini perlu diberi perhatian dan mencari pendekatan terbaik untuk menarik pelabur ke Pengkalan Chepa.

“Saya percaya sekiranya kawasan Pengkalan Chepa kembali menjadi kawasan perindustrian. Insya-Allah kadar pengangguran dan penghijrahan anak muda ke bandar-bandar besar dapat diatasi,” katanya ketika menyantuni penduduk setempat di parlimen Pengkalan Chepa, Kelantan, hari ini.

Beliau juga mahu mewujudkan platfom niaga bagi anak muda dalam sektor Industri Kecil Sederhana (IKS) bagi membina sosioekonomi baharu kepada usahawan belia.

“Melalui platform ini anak muda boleh berniaga sekaligus menjana sumber pendapatan dan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan pengangguran di kalangan mereka.

“Jadi, saya positif bahawa anak muda mahu mahu lihat apa yang kita nak buat untuk mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Hafiz melihat rata-rata ramai anak muda di Kelantan mahu kemudahan litar motor disediakan untuk melakukan aktiviti riadah yang selesa dan selamat.

“Sebahagian anak muda ini minat dalam dunia pemotoran. Dengan terbinanya litar ini anak muda dapat memanfaatkan dengan sebaiknya dan meneruskan aktiviti riadah mereka dengan selamat.

Sementara itu, Dr. Hafiz mengambil pendekatan ‘turun padang’ bagi mendekati rakyat dengan bantuan jentera kempen pilihanraya parlimen Pengkalan Chepa untuk bertemu mata dengan orang kampung dan menyantuni anak muda menerusi platform media sosial.

Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran berkempen pada musim tengkujuh memberi sedikit halangan kerana faktor cuaca yang tidak menentu menghadkan masa untuk turun ke lapangan.

“Tetapi, Allhamdullilah dengan adanya jentera pilihanraya ini mereka memudahkan urusan saya bersama masyarakat.

“Rata-rata anak muda yang ditemui pada kempen tersebut mahukan peluang pekerjaan dan perubahan untuk masa depan.InsyAllah dengan suara anak muda kita lebih realistik dan ita mampu membina masa depan yang fantastik, inilah angin perubahan yang perlukan dilakukan dengan lebih drastik,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.