Belum Pernah Ada Syarikat Bukan Bumiputera Urus Tabung Haji, Zaman PH Memeranjatkan

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Berita mengenai platform Tabung Haji, THiJARI diuruskan oleh syarikat bukan bumiputera semasa zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) amat memeranjatkan lebih-lebih lagi apabila ianya berkaitan dengan Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Tony Pua.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, dalam sejarah Tabung Haji belum pernah lagi mana-mana individu berkepentingan diberikan award terutamanya kepada syarikat bukan bumiputera.

“Dalam sejarah Tabung Haji, tidak pernah diberikan mana-mana award terutamanya yang berkepentingan kepada syarikat bukan bumiputera dan ini terjadi semasa PH memerintah. Saya difahamkan THiJARI ini telah diaward kepada syarikat yang inherit Tony Pua.

“Sebelum ini Tony Pua dikatakan mempunyai kepentingan di dalam syarikat ini sebelum keluar dan menjadi Setiausaha Politik kepada Lim Guan Eng. Saya difahamkan syarikat ini telah menerima award projek sebanyak RM4.5 juta untuk mengendalikan sistem ini,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Mohd Razlan, berita ini amat mengejutkan kerana syarikat ini berkaitan dengan syarikat luar negara yang boleh menyebabkan risiko data pengguna Tabung Haji ini digunakan dan dimanipulasikan.

“Ini adalah satu perkara yang amat memeranjatkan kita. Bagaimana satu syarikat bukan bumiputera dan mempunyai kaitan dengan negara luar boleh mengendalikan akaun-akaun di dalam Tabung Haji?

“Sekiranya data-data ini terkeluar, ianya boleh dimanipulasikan dan banyak perkara yang boleh mereka lakukan. Isu kerahsiaan data ini menjadi isu yang besar sebab ada banyak data contohnya seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini pun pecah.

“Kita tak pernah tanya pun berkaitam THiJARI ini. Berkemungkinan THiJARI ini juga datanya telah dipecahkan kepada orang lain,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau meminta semua rakyat Malaysia meneliti perkara ini sehabis baik dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara ini dengan selanjutnya.

“Saya minta semua rakyat Malaysia faham akan perkara ini dan saya minta juga SPRM untuk menyiasat perkara ini. Sekiranya ada penglibatan Setiausaha Politik yang masih mempunyai kepentingan dalam syarikat ini, siasatlah dan bawa perkara ini ke muka pengadilan.

“Ini adalah demi untuk menjaga kepentingan ummah dan juga Tabung Haji itu sendiri,” katanya lagi.

Pada Jumaat tular pendedahan mengenai platform Tabung Haji, THiJARI diuruskan oleh syarikat bukan bumiputera melalui sebuah akaun Facebook bernama Abdul Rahim Hilmi Zakariya.

Pembangunan platform tersebut yang dibuat oleh syarikat bukan bumiputera menimbulkan persoalan kerana tiada seorang pun pemegang sahamnya adalah dari orang bukan Islam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.