BN Optimis Rampas Kembali Parlimen Tampin, Kuala Pilah – Mohamad

SEREMBAN, 13 Nov – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan optimis parti itu boleh merampas kembali kerusi Parlimen Tampin dan Kuala Pilah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga calon Parlimen Rembau berkata pihaknya juga yakin mampu merampas Port Dickson yang dikuasai Pakatan Harapan ketika ini menerusi usaha dan gerak kerja yang kuat daripada jentera parti.

“Kami mahu menawan semula Kuala Pilah dan Tampin, dan kini kami menyasarkan Port Dickson pula. Saya berpendapat sekiranya kita berusaha lebih giat, bekerja keras, ia dalam genggaman kita.

“Sekarang saya juga gembira dengan perkembangan di lapangan. Jentera bekerja dengan baik, sambutan diterima juga baik kalau kita pergi ke mana-mana. Jadi, kita bukan sahaja dapat mempertahankan apa yang kita capai pada 2018, malah akan merampas semula lebih banyak kerusi kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pembeli rumah Prima Residensi di Rantau semalam.

Pada PRU14, Parlimen Tampin dimenangi oleh Datuk Dr Hasan Baharom dari Parti Amanah Negara (Amanah) menewaskan Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dari BN manakala Parlimen Kuala Pilah disandang oleh Datuk Eddin Syazlee Shith dari Bersatu yang memperoleh majoriti 200 undi menewaskan Datuk Seri Hasan Malek (BN).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian manakala hari pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.