Platform Baharu Di Sri Gading, Perkasakan Pasaran Modal Insan – Lassim

 

SRI GADING, 12 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sri Gading, Datuk Lassim Burhan mahu mewujudkan satu platform baharu untuk anak-anak muda di kawasan berkenaan agar mereka tidak keluar untuk mencari peluang pekerjaan.

Kata beliau yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia, langkah ke arah itu perlu dirangka sebaiknya dan jika BN diberikan mandat itulah antara sebahagian tumpuan yang akan dilaksanakan.

 

“Parlimen Sri Gading kawasan yang agak ‘tua’lah… lama dan mempunyai nilai-nilai warisan yang tinggi… cuma sekarang ini kita perlu fikirkan bagaimana agar modal insan ini tidak keluar daripada Sri Gading ini.

“Kebanyakan anak-anak muda di Sri Gading hari ini keluar berhijrah mungkin bekerja di Singapura, bandar-bandar utama seperti Johor Bahru, Kuala Lumpur dan sebagainya lagi dalam usaha mencari kehidupan yang lebih baik.

“Di Sri Gading ini kita ada kawasan perindustrian yang agak lama… kalau daripada buku sejarah kita belajar sekolah rendah pun dah ada kawasan industri utama di Tongkang Pechah dan Sri Gading contohnya. Tetapi kebanyakan kawasan industri ini adalah kawasan yang agak konvensional,” katanya kepada UMNO Online.

Justeru katanya lagi jika diberi kepercayaan nanti oleh pengundi di Sri Gading, satu platform baru perlu dirangka untuk anak-anak Sri Gading khususnya profesional yang keluar daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta mempunyai peluang pasaran pekerjaan di Sri Gading ini.

Lassim seterusnya mengimbau bagaimana pembatalan keretapi berkelajuan tinggi (HSR) telah merencatkan perancangan jangka panjang yang telah dibuat oleh kerajaan yang ditunjangi BN sebelum tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Saya nak beri contoh… sebelum ini kerajaan BN telah merancang untuk melaksanakan High Speed Rail (HSR) dan ini adalah perancangan yang cukup jauh. UTHM sendiri dah ada kursus railway dan lokomotif tetapi apabila kita kalah pada PRU yang lepas, HSR ini hilang daripada perancangan kerajaan dan akhirnya tidak dapat dilaksanakan di Sri Gading.

“Yang kesiannya adalah anak-anak muda kita lepasan daripada kursus-kursus yang ditawarkan oleh UTHM itu sebagai lokal universiti dalam Parlimen Sri Gading,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau akan selarikan manifesto BN sesuai dengan kawasan tersebut.

“Manifesto BN akan kita sesuaikan untuk kawasan ini. Cumanya kita tidak buatlah akujanji, buku harapan dan sebagainya. Mungkin kita akan namakan sebagai ikhtiar. Sebagai pimpinan kecil di peringkat Parlimen, boleh kita ikhtiarkan beberapa inisiatif khusus bukan sahaja belia, wanita, orang tua dan pelbagai peringkat golongan perlulah mendapat pembelaan,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut melahirkan rasa syukur kerana kempennya bukan sahaja berjalan lancar malah penuh kekeluargaan antara parti-parti yang bertanding di kawasan tersebut.

“Alhamdulillah. Kempen berjalan dengan baik dan di Sri Gading tidak ada provokasi malah dalam keadaan berhemah. Kempen dalam kekeluargaan.

“Selain itu jentera kita dah diingatkan agar jangan memburuk-burukkan serta memfitnah pihak lawan. Kita tidak amalkan (kempen fitnah) malah menyatakan apa yang kita ingin laksanakan.

“Apabila kita menjadi calon BN, kita mempamerkan watak kita yang sebenar. Sebab kita mahu jadi wakil rakyat ini ingin persembahkan diri kita. Kalau kita fikirkan untuk menang dengan budaya fitnah-memfitnah ianya tidak betul kerana akhirnya tidak akan ke mana. Malah selepas pilihan raya komuniti kita berpecah-belah dan sebagainya. Yang penting masyarakat di sini mendapat perkhidmatan sebaiknya daripada wakil rakyat yang terpilih nanti,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.