Pilih BN Demi Kerajaan Stabil Dan Kompeten – Shaiful Hazizy

MERBOK, 12 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berharap rakyat dapat memilih sebuah kerajaan yang kompetan dan kukuh sebagai persediaan untuk berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global.

Katanya, penting kestabilan politik dicapai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini kerana kerajaan yang tertubuh kelak dapat fokus untuk meminimakan kesan daripada krisis tersebut.

“Krisis ekonomi ini jangan main-main kerana ianya memberi kesan kepada masalah lain seperti jenayah, sosial.

“Kestabilan negara adalah untuk ekonomi jadi untuk jaga daripada gelombang dunia yang bermasalah kita perlukan kerajaan kukuh untuk merencana hala tuju baharu.

“Ini penting supaya kerajaan baharu kelak mampu membuat keputusan secara bersama, objektif untuk kita sama-sama melindungi rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut berkenaan isu ini, beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian berkata BN mempunyai kelebihan tersendiri pada PRU15.

Jelas beliau, ini kerana politik khidmat bakti yang sinonim dengan UMNO/BN serta kerja kuat dilakukan membuka peluang kepada BN pada 19 Nov ini.

“UMNO/BN mungkin mempunyai kelebihan tetapi tidak besar namun motif dan tujuan kita untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil dan kuat.

“Sudah semestinya kita mempunyai sedikit kelebihan yang kecil untuk menubuhkan kerajaan di tambah dengan kerja kuat untuk kita realisasikannya,” ujar beliau.

Untuk rekod, Shaiful pada PRU15 ini akan berdepan dengan saingan lima penjuru iaitu calon daripada PH, Perikatan Nasional, Pejuang dan Warisan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.