Nur Jazlan Giatkan Lagi Kempen, Jentera Terus Semangat Menangkan BN

PULAI, 12 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed  melihat perkembangan kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bagi kawasan berkenaan cukup positif.

Menurut beliau semangat yang dipaparkan oleh jentera pelbagai peringkat serta sokongan masyarakat setempat menyemarakkan lagi usahanya untuk terus giatkan kempen sehingga ke garisan penamat sebelum pengundian pada 19 Nov ini.

“Perkembangan kempen positif dan semangat jentera di bawah juga amat tinggi. Ini merupakan satu semangat bagi saya… ahli cawangan dan pelbagai peringkat sedia bantu saya, insya-Allah peluang tetap ada untuk menang di Parlimen Pulai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Bilik Gerakan Pusat  Daerah Mengundi (PDM) Taman Kobena, di sini, malam tadi.

Jazlan seterusnya menambah hari ini rakyat perlu buat pilihan yang sebaik mungkin dan 19 Nov nanti adalah hari yang cukup bermakna.

“Ini  soal nak pilih kerajaan yang stabil dan bukan perkara main-main. Selepas PRN Johor kita ada kerajaan yang kuat … dah stabil dan tidak perlu lagi berpolitik sebaliknya fikirkan untuk selesaikan masalah rakyat.

“Jadi untuk mantapkan lagi kerajaan pusat nanti pilihlah BN… kita tidak mahu lagi MB sampai tiga kali dalam tempoh empat tahun dan tiga perdana menteri dalam tempoh empat tahun… ini penting untuk tumpukan soal pembangunan negara,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.