Jangan Pilih Parti Tawar Manifesto Retorik… Pilih Yang Realistik – Mahdzir

KEDAH, 12 Nov – Pengundi disaran memilih parti yang menawarkan manifesto yang lebih realisitik berdasarkan realiti semasa.

Menurut Nasib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzri Khalid, ini kerana janji yang bulan bintang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hanya memakan diri dan menjadikan negara tidak stabil sehingga terpaksa bertukar kerajaan selama tiga kali dalam satu penggal.

“Saya mengharapkan pengundi-pengundi yang akan mengundi pada hujung minggu nanti supaya tidak lagi terpedaya dengan apa yang disebutkan okeh PH kerana mereka dah janji.

“Mereka buat janji itu ini, tetapi mereka tidak laksanakan,” katanya.

Pada PRU kali ini, dilihat parti gabungan PKR, DAP dan AMANAH itu sekali lagi meminta ruang diberikan kepada mereka supaya beberapa janji mereka dapat dilaksanakan.

Antaranya, mewujudkan Biasiswa B40 bagi mengurangkan kebergantungan terhadap PTPTN dan elaun penjagaan warga emas, harga tetap tiket perjalanan Sabah Sarawak.

Pemimpin pembangkang sebelum ini juga turut menjelaskan, mereka tidak dapat melunaskan janji PRU14 kerana pengkhianatan yang berlaku sehingga menyebabkan kerajaan PH jatuh selepas 22 bulan memerintah.

Bagaimanapun, Mahdzir yang merupakan calon BN parlimen Padang Terap berkata, beliau tidak menyalahkan pengundi yang telah diperdaya, namun mengingatkan agar peluang tidak lagi diberikan kepada mereka.

“Pada PRU14 yang lalu pada 2018 kita tidak salahkan pengundi yang telah balik ke kampung ataupun mengundi PH pada waktu itu kerana pada waktu itu kebanyakan pengundi terpedaya dengan janji-janji yang besar dibuat oleh PH dalam manifestonya.

“Seperti yang kita semua tahu selepas mereka menjadi kerajaan mereka tidak dapat melaksanakan apa-apa janji yang dibuat dalam manifesto mereka,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.