Integrasi Eko-sistem Pendidikan Di Kubang Pasu Antara Tumpuan Hasmuni

KUBANG PASU, 12 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan berkata kawasan berkenaan memerlukan  satu ekosistem pendidikan yang baik dan selesa bermula dari tadika sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi dan professional.

Menurut beliau pentadbiran Kerajaan BN selama ini telah menyediakan infrastruktur pendidikan yang cukup baik dalam usaha memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak.

“Kubang Pasu mempunyai 28 buah Sekolah Kebangsaan (SK), 16 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), enam buah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), lima buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan empat buah Pusat Latihan Kemahiran.

“Oleh sebab itu saya yakin, amat perlu eko-sistem pendidikan di Kubang Pasu ini diintegrasi dan dinaiktaraf sebaiknya melalui kerjasama strategik dan pelaksanaan diantara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan lain-lain agensi Kerajaan yang berkaitan.

“Malah, saya berharap dapat melihat sektor swasta khususnya syarikat-syarikat teknologi dan logistik yang akan beroperasi di SBEZ dapat berkerjasama aktif dengan memberikan input industri dan bantuan kepada eko-sistem pendidikan Kubang Pasu,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online.

Tambah beliau lagi yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, melalui kerjasama ini, kita boleh menyediakan modal insan dan tenaga mahir yang mencukupi serta relevan dengan aktiviti ekonomi di SBEZ dan sektor Pertanian tradisi Kubang Pasu.

“Potensi ekonomi dan kemakmuran Kubang Pasu amat besar dan wajar dibuka (unlocked) seluas-luasnya dan pendidikanlah demi rakyat Kubang Pasu. Saya yakin kita boleh mencapainya bersama Barisan Nasional.

“Mengapa kita tidak boleh menjadi seperti Johor Bahru yang menjadi pintu masuk darat dari Singapura, walhal Kubang Pasu kita adalah pintu masuk darat utama dari Thailand,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.