Empat Bekas ADUN Bantu Kempen BN Di Sepang, Yakin Rampas Kerusi Dari PH

SEPANG, 12 Nov – Biarpun sudah tidak bergelar ‘Yang Berhormat’ (YB) namun semangat empat bekas wakil rakyat Sepang aktif membantu kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sepang, calon muka baharu, Anuar Basiran.

Walaupun sibuk dengan komitmen masing-masing namun mereka sedia membantu malah mengakui menjadi tanggungjawab dan tugas mereka untuk turun padang bersama jentera BN.

Empat bekas wakil rakyat terdiri dari penduduk tempatan mewakili parti BN ini terdiri dari bekas Ahli Parlimen Sepang (PRU 7 dan 8) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Dengkil (PRU 9 dan 10), Datuk Mohd Shariff Jajang dan anaknya bekas ADUN Dengkil, Shahrum yang menang bertanding pada PRU13.

Dua lagi wakil rakyat ialah, bekas ADUN Dengkil, Datuk Marsum Paing (PRU12) dan bekas ADUN Tanjung Sepat, Datuk Dr Karim Mansor yang berjaya mempertahankan kerusi DUN kawasan itu selama dua penggal pada PRU11 dan 12.

Mohd Shariff, 79, berkata pengalaman dua penggal di peringkat Parlimen Sepang dan DUN Dengkil sebagai wakil rakyat memberi kelebihan kepadanya untuk membantu calon bertemu pengundi pada program kempen yang diatur.

“Sebagai bekas pemimpin kita perlu ada semangat keikhlasan dalam diri dan bantu membantu agar BN dapat terus dikekalkan di kawasan Parlimen Sepang,” katanya.

Sementara itu Marsum,67, berkata, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk memberi nasihat dan panduan kepada calon baharu yang bertanding terutama pemimpin pelapis muda di kawasan ini.

Marsum yang pernah bertanding kerusi Parlimen Sepang pada PRU14 dan tewas kepada wakil Pakatan Harapan (PH), Mohamed Hanipa Maidin,berkata beliau ingin melihat BN menang bukan sahaja kerusi Parlimen Sepang tetapi juga semua di Selangor.

“Saya juga bangga melihat semangat bekas wakil rakyat kawasan ini yang turut sama berkempen supaya rakyat terus menyokong BN pada PRU-15 kerana parti keramat ini sudah banyak berjasa kepada rakyat,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.