Usaha Dan Tekad, Pembakar Semangat Calon BN Langkawi Berkhidmat Kepada Rakyat

LANGKAWI, 11 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Langkawai, Datuk Armishah Siraj meluahkan kepercayaan untuk merampas kembali Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, ini kerana usaha dan tekad beliau menjadi pembakar semangat kepada dirinya dalam membantu rakyat yang berhadapan dengan kesulitan.

“Sangat tinggi keyakinan untuk rampas kerusi ini. Saya ni jenis kalau ada satu isu terus tangani dan selesaikan dalam masa terdekat jadi tidak payah berkempen bagi tahu janji itu ini, orang bagi tahu masalah terus kita cuba selesaikan itu cara bekerja saya.

“Bulan lepas saya melawat di Pasar Malam Air Hangat, peniaga berdepan dengan air naik jadi mereka kena pakai boots yang tinggi.

“Jadi alhamdulillah selepas saya pergi dalam masa dua minggu kemudian dirujuk ke Majlis Perbandaran Langkawi ianya telah selesai diturap keseluruhan pasar malam,” katanya.

Sementara itu, beliau juga pada sama meluahkan kesyukuran di atas sambutan diterima sepanjang perjumpaan berjumpa rakyat.

Respon positif itu katanya meliputi kepelbagaian kaum di kawasan ini termasuk latar belakang rakyat yang berbeza.

“Alhamdulillah setakat yang saya berjumpa ini respon diterima sangat positif daripada kalangan pemandu teksi, termasuk juga komuniti masyarakat Cina sangat baik.

“Saya dah pergi ke Pulau Tuba, Bukit Balut, Taman Nilai dan juga Teluk Ewa rakyat menanti sampaikan kadang-kadang marah yang mana tak pernah tengok mereka minta datang untuk berjumpa,” ujar beliau.

Armishah juga turut berkata bahawa beliau akan memanfaatkan masa berkempen ini untuk berjumpa seramai mungkin rakyat bagi memperkenalkan serta menjelaskan pendekatan yang akan dilakukan sekiranya terpilih pada 19 Nov ini.

“Saya telah melawat ke markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyantuni pegawai dan kakitangan sebab mereka mengundi awal 15 Nov jadi saya ambil kesempatan berjumpa panglima dan memperkenalkan serta menceritakan visi dan misi.

“Sebab kadang-kadang orang tak kenal jadi saya kena berjumpa seramai boleh masyarakat bagi menerangkan tujuan memasuki pilihan raya,” katanya.

Arminshah pada PRU15 ini akan berdepan dengan saingan lima penjuru iaitu calon daripada Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Pejuang dan Bebas.

Untuk rekod Langkawi merupakan kubu kuat BN, namun 2018 mencatatkan sejarah tersendiri apabila kerusi tersebut dimenangi parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit