Serangan Politik, Fitnah Tidak Dilayan… Fokus Untuk Rakyat – Tengku Zafrul

KUALA SELANGOR, 11 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi P096 Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak akan melayan serangan politik mahupun fitnah yang dilemparkan pihak lawan terhadapnya sepanjang tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, fokus diberikan hanya kepada perkhidmatan terbaik untuk rakyat dan membawa pulangan ekonomi di kawasan luar bandar jika diberi peluang menjadi wakil rakyat.

“Saya tidak fokus kepada fitnah, kalau ada yang buat fitnah pun biarlah, mereka mempunyai pandangan masing-masing.

“Bagi saya kita fokus dengan apa yang boleh kita buat untuk kebajikan rakyat dan pembangunan ekonomi negara khususnya saya pada masa ini fokus untuk Kuala Selangor juga.

“Kalau ada pun serangan (fitnah) saya tak pandang kerana pada saya, semua ada pendapat masing-masing, biarlah mereka dengan pendapat mereka, kita hormati pandangan orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan itu tidak berminat untuk bermain dengan politik kotor bagi memenangi PRU15 kali ini.

“Kenapa kita nak menang pilihan raya, kerana kita nak membantu rakyat dan juga pembangunan negara.

“Saya tidak berminat untuk bermain dengan politik kotor dan semua wakil rakyat patut fokus kepada menyelesaikan masalah rakyat.

“Itulah sebabnya slogan kita di sini, untuk Kuala Selangor ialah untuk kita dengar, kita hayati dan kita selesaikan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.