Pengundi Muda Diingatkan Tidak Lupa Janji Palsu Parti-parti Politik Pada PRU14

PADANG TERANG, 11 Nov – Pengundi muda yang baru pertama kali menunaikan tanggungjawab mengundi, diingatkan tidak lupa janji-janji palsu yang ditabur dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu sebelum menterjemahkan pilihan masing-masing di kertas undi pada PRU15.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia bagi memastikan mereka tidak terperdaya dengan tawaran-tawaran kosong, yang sebenarnya tidak mampu dilaksanakan oleh parti-parti politik tertentu.

“2018 Pakatan Harapan (PH) telah membawa satu manifesto yang telah menjanjikan pelbagai tawaran yang ekstrem tetapi apabila mereka menjadi kerajaan mereka gagal untuk melaksanakan sebab dia janji nak hapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan dia tidak boleh hapuskan PTPTN.

“Mereka janji tol lebuh raya nak dihapuskan tidak boleh buat tol itu dihapuskan dan dia nak bagi harga minyak turun ke satu tahap yang minimum dari segi per liter sampai hari ini dia tak boleh buat sampai dia kalah pun dia tak boleh buat.

“Maknanya dia memberikan satu manifesto yang tiada harapan sebenarnya. Jadi kepada anak-anak muda di luar sana kita pergi kepada tawaran yang praktikal yang boleh dilakukan oleh kerajaan berdasarkan kepada kewangan kemampuan dan juga pada waktu itu kebolehan kerajaan untuk buat sesuatu.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Sembang Santai Pemimpin Institusi di FELCRA Kubang Kenyeng dekat Padang Terap, hari ini.

Beliau juga diminta mengulas manifesto PH yang dinamakan sebagai Tawaran Harapan yang dilancarkan baru-baru ini.

Jelas Mahdzir, dalam PRU kali ini BN dilihat menawarkan manifesto atau tawaran yang lebih praktikal berbanding gabungan-gabungan politik lain.

Katanya, kebanyakan tawaran berasaskan kepada Belanjawan 2023 yang telah dibentangkan di Parlimen sebelum ini, boleh dikatakan semua golongan terlibat dalam tawaran tersebut termasuk wanita, anak muda, dewasa, veteran, kanak-kanak dan pesara kerajaan.

Beliau berkata, anak-anak muda juga tidak dilupakan dalam pakej tawaran tersebut termasuk pendidikan berkaitan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta jaminan peluang pekerjaan pada masa depan berasaskan industri Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta teknologi hijau yang dikemukakan.

Dalam manifesto PH menyatakan komitmen untuk mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan kadar terbaik, dengan pencapaian pengurangan 18 peratus kadar tol bagi Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) termasuk Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2).

Sebelum itu, media turut melaporkan mengenai janji Pengerusi DAP, Lim Guan Eng bahawa tol PLUS akan dimansuhkan sekiranya PH menang dalam PRU15.

Perkara itu turut mendapat reaksi Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang hairan dengan tindakan PH mengulangi janji yang disifatkan sebagai tidak boleh dilaksanakan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.