Buat Pilihan Tepat, Nilai Khidmat BN Mentadbir Pulai – Nur Jazlan

JOHOR BAHRU, 11 Nov – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nur Jazlan Mohamed meminta para pengundi menilai rekod cemerlang beliau selama 14 tahun ketika berkhidmat untuk Parlimen Pulai dari tahun 2004 hingga 2018 sebagai penentu memilih wakil rakyat mereka pada 19 November ini.

Menurutnya, malah, Allahyarham ayahnya, Tan Sri Mohamed Rahmat juga turut memiliki rekod yang cemerlang selama 30 tahun iaitu dari tahun 1969 hingga 1999 ketika menjadi wakil rakyat kawasan itu boleh juga dijadikan ukuran.

“Kalau dinilai track rekod cemerlang saya di Pulai bukan saya seorang sahaja. Allahyarham ayah saya (Mohamed) juga selama 30 tahun iaitu dari tahun 1969 hingga 1999 menjadi Ahli Parlimen Pulai dan saya sambung dari 2004 hingga 2018 juga di sini (Pulai),” katanya.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu meminta, pengundi Pulai memilih individu yang mempunyai visi dan kebolehan merancang pembangunan untuk masa depan anak cucu pada masa akan datang dan bukannya memilih pemimpin bersandar emosi semata-mata.

“Adakah Pulai sekarang semakin naik atau menurun? Saya pasti jawapannya adalah semakin naik. Sekarang kita ketepikan emosi, fikirkan kepada bagaimana mahu bersama Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Parlimen Pulai ini.

“Saya serius untuk bertanding lagi dan bukannya main-main sebab selama tiga penggal saya menjadi waki rakyar di sini sebelum ini, rakyat boleh lihat bagaimana kawasan Pulai terutamanya Bandaraya Johor Bahru berkembang begitu pesat.

“Saya bersedia dengan sepenuh hati dan rendah diri memimpin dan mewakili suara rakyat di Pulai,” katanya lagi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Parlimen Pulai berentap tiga penjuru antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Nur Jazlan yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri akan menentang penyandang kerusi itu yang juga Pengerusi PH Johor, Datuk Salahuddin Ayub dan Loh Kah Yong (PN). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.