Manifesto PADU BN Berpijak Di Bumi Yang Nyata, Mampu Direalisasikan – Ahmad Jazlan

MACHANG, 11 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata BN sentiasa menghidangkan manifesto yang terbaik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

Katanya, Perancangan Amal dan Usaha (PADU) BN mampu dilaksanakan dan berpijak di bumi yang nyata.

“Kita boleh mengeluarkan manifesto yang sudah tentu menyeronokkan rakyat, menghiburkan rakyat tetapi apa guna jika akhirnya selepas membentuk kerajaan tidak mampu melaksanakan malah jika dilihat pada yang lepas-lepas, pelaksanaannya lebih baik dari manifesto yang dijanjikan untuk rakyat.

“Setiap kali belanjawan, BN akan memastikan belanjawan itu demi rakyat dan tidak terkandung dalam manifesto, tetapi kerajaan BN tetap memberi perhatian. Asas manifesto sentiasa ada penambahbaikan pada tahun ke tahun iaitu dalam tempoh ‘edah’ lima tahun.

“Tidak ada sebab untuk rakyat mempertikaikan BN kerana mana-mana parti semuanya ada manifesto, janji-janji kepada rakyat. Semua mengeluarkan janji pada rakyat dan rakyat boleh menilai apatah lagi kalau satu-satu parti yang berjanji pada rakyat tapi akhirnya mengakui tidak boleh buat, bukan sahaja tidak boleh buat tapi menidakkan aku janji mereka sendiri,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan menjelaskan sekiranya sesebuah parti itu memenangi PRU, parti itu harus mengotakan janji-janjinya pada rakyat.

“Tak laksanakan janji… tak apa, bukan kitab suci. Rakyat boleh tahu macam mana nak janji lagi. Kalau hutang lama tak bayar macam mana nak bagi hutang baharu. Paling penting kestabilan selepas pasca PRU ke-15 ini amat penting kerana kestabilan ini akan menentukan urus tadbir negara berjalan dengan baik.

“Apabila urusan negara berjalan dengan baik ekoran adanya kestabilan maka ada kemakmuran. Kemakmuran ini bukan sahaja ada tetapi perlu dilihat oleh pihak luar. Sudah tentu inginkan keyakinan dari syarikat antarabangsa kepada kita dan sebab itu kestabilan itu penting,” jelas beliau.

Tambah Ahmad Jazlan, apabila rakyat memilih BN menjadi kerajaan Pusat ini bererti rakyat memilih kestabilan.

“Kalau tak stabil, ekonomi tak baik, masalah sosial dan masalah macam-macam datang maka yang akan menerima akibatnya adalah rakyat.

“PRU ke-15 ini adalah sangat penting untuk rakyat buat penentuan. Masing-masing mempunyai satu undi dan mempunyai kuasa semua. Pihak yang dapat sokongan banyak yang akan menang dan akan membentuk kerajaan.

“Saya tak nampak ada parti lain yang boleh membawa kemakmuran, keamanan, kesejahteraan dan kebajikan pada rakyat. Perkara ini nampak mudah tetapi tidak mudah dan perlu ada pengalaman mentadbir iaitu mereka yang benar-benar merasai apa kehendak rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.