BN Dengar Kehendak Akar Umbi, Tampil Lebih Ramai Calon Baharu

ARAU, 11 Nov – Barisan Nasional (BN) telah mendengar kehendak akar umbi dan rakyat secara keseluruhan yang mahukan parti itu melakukan perubahan dengan menampilkan lebih ramai muka baharu dalam Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15).

Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata, parti itu telah mengetengahkan lebih 80 peratus muka baharu sebagai terjemahan kepada perubahan untuk membentuk pentadbiran kerajaan yang lebih segar.

Katanya, PRU15 kali ini adalah sangat penting dan disebabkan itulah BN cuba membawa pembaharuan selaras dengan permintaan akar umbi serta pengundi.

“Kita akan ada perubahan yang baik untuk rakyat dengan menampilkan muka baharu bagi membawa lebih banyak idea-idea segar dalam membangunkan negara,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan krisis politik di Parlimen Arau, Syed Atif berkata, walaupun berdepan keretakan pada peringkat awal, tiada mana-mana bilik gerakan BN ditutup menjelang hari pengundian PRU15.

Katanya, semua bilik gerakan BN masih beroperasi dan hanya berdepan beberapa masalah teknikal pada peringkat awal selepas penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

“Bagaimanapun permasalahan itu hanya berlaku dalam masa dua hari dan bilik-bilik gerakan telah beroperasi semula seperti biasa selepas mendapat khemah-khemah baharu untuk ditempatkan di sana,” katanya.

Tambah beliau, semua perancangan parti dan jentera telah kembali atas landasan yang tepat bagi memastikan kemenangan BN di Parlimen Arau dengan majoriti lebih besar.

Shahidan sebelum ini mengumumkan akan kekal bertanding di Parlimen Arau dengan menggunakan tiket PN selepas BN tidak menyenaraikan beliau sebagai calon mereka dalam PRU15.

Pada PRU14, Shahidan berjaya memenangi kerusi Parlimen Arau selepas meraih sebanyak 4,856 undi menerusi pertembungan tiga penjuru melawan calon PKR, Datuk Dr Abd Rahman Daud (11,691 undi) dan Pas, Hashim Jasin (11,362 undi). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.