Abdul Hakim Bekerja Keras, Mahu Rampas Semula Masjid Tanah

MASJID TANAH, 11 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid akan bekerja keras bagi memastikan kawasan tersebut kembali dinaungi oleh parti itu.

Jelasnya, meskipun berdepan dengan calon yang tidak asing lagi di kawasan tersebut, Abdul Hakim yakin dengan niat yang baik sudah semestinya beliau akan berjaya untuk menang di kerusi tersebut.

“Saya akan berusaha sebaik mungkin, bekerja keras dan akhir sekali bertawakkal kepada Allah. Insya-Allah kalau niat kita untuk masyarakat dan lillahi-Taala, berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air, kita akan berada dalam keadaan tenang.

“…dan kita akan terus bekerja kerana keutamaan saya adalah masyarakat di Masjid Tanah. Itu sahaja,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, beliau memberikan fokus kepada anak muda dan berhasrat untuk membawa pembangunan ke Masjid Tanah sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut.

“Kalau visi dan misi ini, saya lebih tertumpu kepada anak-anak muda dalam parlimen Masjid Tanah ini tidak mengira anak muda yang berada di kampung dan diluar asalkan mengundi di sini. Itu yang pertama.

“Keduanya, sudah pasti pembangunan-pembangunan yang disebut oleh para pemimpin perlu diteruskan dari semasa ke semasa. Apatah lagi sekiranya diberikan mandat oleh rakyat pada 19 November nanti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Abdul Hakim turut berpesan kepada para pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka bagi membentuk kerajaan yang stabil dan makmur demi masa depan negara.

“Satu saja pesanan saya, kepada pengundi-pengundi yang berada di luar, baliklah mengundi kerana ini adalah tanggungjawab anda sebagai warganegara.

“Kita berhak memilih mana-mana parti politik untuk membentuk sebuah kerajaan yang boleh menguruskan negara ini dengan lebih baik untuk masa depan anak cucu kita,” katanya lagi.

Parlimen Masjid Tanah merupakan kubu kuat UMNO/BN sejak merdeka namun tindakan penyandang kerusi parlimen tersebut ‘melompat’ mengakibatkan parti tersebut hilang kuasa di kerusi itu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ini, UMNO/BN berhasrat untuk merampas semula kawasan ini bagi menyumbang satu kerusi dalam membentuk kerajaan di Putrajaya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.