UMNO Parti Demokratik, Dinamik Bertukar Pemimpin… Parti Lain Tak Berani – Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR, 10 Nov – UMNO adalah sebuah parti yang sangat dinamik dan sangat demokratik jika dibandingkan dengan parti-parti lain.

Demikian tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang merujuk kepada ucapan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin berikutan menawarkan diri menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri suatu masa nanti.

Kata Ahmad Shabery, perkara ini tidak boleh diambil secara emosional kerana untuk memegang jawatan tertinggi dalam parti merupakan satu peluang yang terbuka luas kepada sesiapa sahaja.

“Dalam sejarah dari zaman Presiden UMNO pertama Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj), Tun Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir (Mahathir Mohamad), Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), Datuk Seri Najib Razak dan sekarang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kita telah melalui proses tujuh ke lapan orang yang menjadi Presiden.

“Kalau dibandingkan dengan parti lain kita kira UMNO adalah parti yang paling dinamik, paling demokratik dan bertukar tangan dari segi pucuk pimpinan adalah satu perkara yang biasa. Siapa pun boleh menawarkan diri untuk jadi Presiden parti, bukan saja Khairy malah ramai lagi yang lain boleh sampai ke peringkat itu,” katanya.

Jelas Ahmad Shabery, Khairy pernah bertanding dalam pemilihan parti dan tidak ada halangan untuknya bertanding lagi.

“Khairy boleh bertanding lagi (dalam pemilihan UMNO), tiada halangan. Dalam sejarah yang pernah membuat satu halangan bertanding di peringkat pucuk pimpinan adalah pada zaman Tun Mahathir dan disokong oleh Anwar (Anwar Ibrahim) sewaktu menjadi timbalannya.

“Waktu itulah ada satu resolusi dibuat tidak ada pertandingan untuk jawatan nombor satu dan nombor dua. Ini dibuat zaman Anwar berada dalam UMNO yang pada ketika dahulu menghalang orang bertanding merebut jawatan atasan kerana nak menyokong Tun Mahathir dan nak menghalang orang lain bertanding jawatan itu.

“Dulu ada kuotalah, bersyarat beberapa banyak pencalonan dan sebagainya. Itu berlaku dalam zaman Tun Mahathir dan Anwar berada dalam UMNO, tetapi selepas itu tidak menjadi isu lagi. Selepas itu UMNO ‘free for all’, dalam Perlembagaan UMNO tak ada lagi seseorang itu perlu cukup pencalonan sebaliknya sesiapa yang nak bertanding, cuma berdaftar dan bertanding.”

Dalam hal ini beliau mempersoalkan parti-parti lain adakah berani menawarkan jawatan tertinggi sedemikian.

“Saya nak bertanya parti lain, beranikah PKR nak tawarkan orang lain selain daripada Anwar Ibrahim. Saya rasa mereka tak berani dan jawatan itu hanya untuk keluarga. Tak ada orang lain. PPBM pernah ada orang lain tapi kena buang dengan cara yang tidak terhormat apabila Tun Dr Mahathir terpecat begitu sahaja. Siapa selepas Tan Sri Muhyiddin (Muhyiddin Yassin) rasanya tak ada orang yang berani.

“Kalau Dap mesti dalam lingkungan keluarga dan baru-baru ini saja nampak ada perubahan sedikit. Tanya Pas, saya rasa tak ramai yang ingat siapa Presiden Pas sebelum ini.

“Ini memperlihatkan bahawa tidak ada parti yang lebih dinamik melainkan UMNO,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media di Pusat Operasi BN, Menara Dato’ Onn, hari ini berikutan ucapan Khairy yang menzahirkan hasratnya untuk menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, namun mesti menang di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Khairy diletakkan di Parlimen Sungai Buloh bagi menjayakan misi merampas parlimen terbabit bagi menyumbang kerusi untuk BN menjadi menang dan membentuk kerajaan Persekutuan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.