Rampas Semula Masjid Tanah, Lupakan Ahli Parlimen Pengkhianat Parti – Ahmad Zahid

MASJID TANAH, 10 Nov – UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu merampas kembali kerusi Parlimen Masjid Tanah yang merupakan kubu kuat parti itu sejak merdeka.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan calon yang diletakkan di kerusi itu, beliau yakin UMNO/BN akan menang dengan majoriti yang besar.

“Calon kita, Abdul Hakim Abdul Wahid. Jika inilah tokohnya, anak muda yang kita ketengahkan, pilihan kita, maka perlu kita rampas semula kerusi Parlimen Masjid Tanah ini.

“Kerusi Masjid Tanah ini merupakan kubu kuat kita sejak merdeka. Tetapi disebabkan kita mempunyai ‘katak yang lompat’, kita kehilangan kerusi ini. Jadi, kita kena pastikan kemenangan akan jadi milik kita semula,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perjumpaan Jentera BN Parlimen Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi BN itu turut berkata, calon anak muda dan tenaga baharu yang diketengahkan ini relevan bagi memperoleh kemenangan besar di kerusi itu.

“Saya secara peribadi memilih Hakim sebagai calon di kerusi ini. Semasa saya kemukakan nama beliau, tiada penolakan bahkan mereka semua bersetuju. Kita perlukan anak muda dan tenaga baharu yang kita akan ketengahkan.

“Saya amat yakin beliau lebih baik daripada calon yang pernah menjadi Ahli Parlimen di Masjid Tanah ini. Saya yakin beliau akan memberikan segala-galanya bahkan lebih daripada itu,” katanya lagi.

Ahmad Zahid turut menyuarakan hasratnya kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk menjadikan Masjid Tanah sebagai daerah baharu di negeri Melaka.

“Apa yang penting, saya telah memberitahu Ketua Menteri Melaka, jadikan Masjid Tanah ini sebagai daerah baharu di negeri Melaka. Bawa lebih banyak pembangunan. Buat ‘highway’ dari Alor Gajah ke Masjid Tanah, mungkin dari Masjid Tanah ke Bagan Datuk.

“Kalau jalan empat lorong dibangunkan dari Masjid Tanah ke Alor Gajah, saya pasti kawasan ini akan lebih membangun lagi. Bangunkan semula Tanjung Bidara sebagai pusat pelancongan.

“Tempat-tempat ini mempunyai banyak potensi untuk dibangunkan. Sekiranya jatuh ke tangan ahli Parlimen dari pihak pembangkang, maka susah untuk kita bawa pembangunan masuk ke kawasan tersebut,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut melahirkan keyakinan beliau kepada calon bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah itu serta menegaskan bahawa janji-janji dibuat UMNO/BN bukanlah janji-janji palsu.

“Saya amat yakin dengan apa yang saya nyatakan tadi. Saya akan memantau pembangunan Masjid Tanah ini dan pastikan bahawa pada PRU ke-16 sebelum Hakim terpilih semula untuk menjadi calon, semua janji telah dilaksana.

“Yakinlah, semua janji yang dimeterai bukanlah janji palsu kerana kata akan dikota, janji akan dilaksana,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.