Pengalaman Sebagai Wakil Rakyat BN, Suraya Yakin Tawan Pendang

 

PENDANG, 10 Nov – Calon UMNO/Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen, Datuk Suraya Yaacob mengakui beliau sebagai calon ‘underdog’ namun percaya sebarang kemungkinan boleh berlaku memandangkan peralihan pola pengundian dijangka akan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Bagaimanapun, jelas Suraya berbekalkan pengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Sungai Tiang ianya memberi kelebihan kepada beliau kerana sangat memahami sosioekonomi dan sosial rakyat di kawasan ini.

“Saya bertanding sebagai underdog dan berdepan Pas yang telah bercantum dengan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tetapi pada masa yang sama saya amat yakin kerana telah berkhidmat di DUN Sungai Tiang selama 20 tahun.

“Sepanjang tempoh itu saya mengenali dengan baik daerah ini dan mengetahui apa yang perlu dilakukan dengan terperinci untuk membangunkan Pendang.

“Banyak juga pembangunan terutama di DUN Sungai Tiang, namun apa yang perlu dilakukan adalah perubahan dasar yang hanya boleh dibuat peringkat Parlimen,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Dalam pada itu beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang berkata, perubahan trend sokongan rakyat pada BN ketika Pilihan Raya Negeri (PRN), Melaka dan Johor antara suatu perkara yang perlu diberi perhatian.

“Dia punya swing tu memang ada tetapi kali ini tak boleh baca sangat sebab ada undi automatik dan kita ada combination antara parti kerana sebelum ini mereka bersendirian itu yang kita agak payah baca.

“… tetapi bila tengok balik pada PRN ada juga perbezaan itu sedikit jadi sebenarnya cukup menarik untuk melihat tren.

“Saya rasa rakyat faham dah banyak perubahan trend ini sedang berlaku pengundi bukan seperti dahulu ikut parti sahaja kerana mereka juga ingin melihat calon,” ujar beliau.

“Insya-Allah saya percaya rakyat perlu memberikan mandat kepada BN untuk dibawa suara mereka ke peringkat nasional,” ujar beliau.

Untuk rekod Suraya pada PRU15 ini akan berdepan dengan empat penjuru iaitu calon daripada PH, Perikatan Nasional dan Pejuang.

Buat pertama kali buat senario politik Kedah apabila PRU15 ini negeri ini menyaksikan hanya kerusi Parlimen dipertandingkan disebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubarkan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.