Hasni Dan Maszlee Bertembung Di Pasar Malam, Kempen Cara Sihat Di Simpang Renggam

SIMPANG RENGGAM 10 Nov – Suasana di Pasar Malam Bukit Keraimoyang petang semalam meriah dengan kehadiran jentera parti serta calon-calon yang bertanding di Parlimen Simpang Renggam sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Pertembungan mesra calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasni Mohammad dengan calon Pakatan Harapan, Dr Maszlee Malik bukan sahaja menarik tumpuan para pengunjung, malah peniaga yang berniaga di pasar malam berkenaan.

Masing-masing bukan sahaja bertanya khabar malah ada juga kalangan jentera parti yang mengusik antara satu sama lain supaya membawa balik ‘flyers’ yang diedarkan.

Pertemuan tersebut yang berlangsung seketika membuka ruang kepada kedua-dua calon tersebut berbual mesra dan apa yang penting suasana kempen bukan sahaja berlangsung  dalam keadaan tenteram malah turut menjadikan pasar malam itu seolah-olah medan berkempen.

Terdahulu Hasni dan jentera BN turut bertembung dengan calon daripada Perikatan Nasional (PN) yang turut menjadikan pasar malam berkenaan sebagai ruang berkempen.

Kru UMNO-Online yang mengikuti walkabout Hasni mendapati rata-rata khalayak bukan sahaja pengunjung malah para peniaga turut menyatakan komitmen untuk memilih parti yang boleh diharapkan dan bukannya sekadar pandai berjanji.

Malah terdapat para peniaga yang meletakkan poster Hasni di gerai masing-masing selain melekatkannya di kenderaan mereka.

Kemesraan Hasni bersama pengunjung dengan peniaga jelas kelihatan apabila beliau menjadi tumpuan mereka yang berada di sekitar untuk berswafoto dengan mantan Menteri Besar Johor itu.

Apa yang pasti, tempoh berkempen yang berbaki lapan hari sudah pasti akan digunakan sepenuhnya  oleh calon-calon yang bertanding baik menerusi bersemuka mahupun pelbagai medium lain.

‘Malaysia Memilih’ bakal memperlihatkan parti manakah yang akan menjadi pilihan rakyat khususnya pengundi untuk  menerajui kerajaan selama lima tahun nanti. – UMNO Online 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.