BN Angkat Calon Wanita, Bawa Peranan Tersendiri Jaga Kebajikan Rakyat

SUNGAI PETANI, 10 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohd Yusoff berkata wakil rakyat wanita memainkan peranan penting dalam institusi kepimpinan kerana mempunyai sifat yang lebih empati dalam menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, tanggungjawab yang diberikan parti ini membawa signifikannya tersendiri termasuk mengangkat peranan wanita sebagai pemimpin terutama di Dewan Rakyat.

“Bukan senang hendak dapat calon wanita, apa yang saya tahu calon wanita sekarang ini untuk Parlimen ada 22 orang. Alhamdulillah di Kedah ini ada empat orang, itu dikira paling ramai untuk cukupkan kuata 30 peratus.

“Jadi harapan saya kepada pengundi wanita berusia 18 tahun ke atas disebabkan kita hendak memperkasakan wanita kerana golongan Hawa ini lebih prihatin, penyayang, simpati, bertindak dengan cergas, politik khidmat bakti lagi pantas.

“Saya berharap semua pengundi wanita untuk menyokong calon wanita BN yang ada, terutama pengundi golongan ini di Sungai Petani lebih kurang 52 peratus daripada 178,000 pengundi, lebih daripada lelaki, jadi pilih saya ketika mengundi terus pilih calon nombor lima,” katanya.

Sementara itu, Shahanim yang juga Ketua UMNO Bahagian berkata rakyat perlu bijak dalam memilih calon yang akan membawa suara mereka di peringkat Persekutuan.

Tambah beliau, pengalaman serta kematangan perlu diambil kira kerana ianya memainkan peranan dalam menguruskan isu-isu berbangkit dalam kalangan rakyat di kawasan.

Mengulas lanjut berkenaan pencabar beliau daripada Pakatan Harapan (PH) yang merupakan anak kepada penyandang Parlimen Sungai Petani berusia 26 tahun, Shahanim berkata beliau tidak terkesan dengan calon tersebut.

“Tidak tercabar kerana dia baru 26 tahun, bekerja tidak sampai setahun tiba-tiba menjadi calon, saya bagi perbezaan kita bukannya hendak burukkan sesiapa, saya pernah jadi ahli Dewan Negara, mantan Naib Ketua Puteri (UMNO) Malaysia, pernah pegang lembaga pengarah NAFAS, RISDA sekarang pegang timbalan Pengerusi KEDA.

“Rangkaian banyak, kenal menteri-menteri dan pegawai, apabila ada isu di Sungai Petani sebagai contoh banjir kita hendak buat Rancangan Tembatan Banjir rujuk kepada rakan-rakan di Putrajaya tetapi kalau ambil yang terlalu muda, tiada pengalaman, dia tidak mampu untuk cari networking macam yang kita ada,” ujar beliau.

Untuk rekod, Shahanim pada PRU15 ini akan berdepan dengan saingan lima penjuru iaitu calon daripada PH, Perikatan Nasional, Pejuang dan Parti Rakyat Malaysia. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.