Tengku Adnan Tegaskan BN Parti Kompeten… Sentiasa Pastikan Keutamaan Rakyat

PUTRAJAYA, 9 Nov – Barisan Nasional (BN) adalah parti yang kompeten untuk mentadbir negara malah telah terbukti apabila menerajui Malaysia lebih 60 tahun.

Demikian tegas Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menekankan bahawa BN adalah parti yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

“Kita sedih apa yang berlaku selepas PRU-14. Kita berharap rakyat akan memberi peluang bagi kita buktikan dan membawa Malaysia bergerak ke hadapan serta ke arah lebih baik. Malaysia mesti bangkit semula.

“Tidak ada seorang menteri kewangan yang akan berkata walaupun negara itu akan bangkrap mengakuinya… sedangkan (negara kita) tak bangkrap pun kerana mereka hanya buat cerita … ia hanya alasan politik sehinggakan saham-saham jatuh. Inilah menteri kewangan lama yang diterajui oleh Lim Guan Eng,” katanya.

Beliau yang juga calon BN bagi mempertahankan Putrajaya berkata demikian selepas meninjau pasar malam di Presint 2, semalam.

Tengku Adnan yang merupakan penyandang bagi Parlimen Putrajaya menegaskan keutamaan BN adalah untuk rakyat.

“BN adalah parti ‘daripada rakyat, oleh rakyat dan kepada rakyat’. BN parti yang sentiasa memikirkan rakyat, mengutamakan rakyat iaitu pertama kita pastikan rakyat ada makanan di atas meja, nombor dua pastikan rakyat ada bumbung untuk berteduh, nombor tiga adalah pendidikan dan nombor empat pastikan rakyat mempunyai pekerjaan sama ada dalam perniagaan atau kerja-kerja yang lain. Kita pastikan adanya peluang-peluang untuk rakyat dan itu adalah keutamaan BN.

“BN adalah parti kompeten yang telah menerajui negara lebih dari 60 tahun. Kita ada menteri-menteri yang kompeten, insya-Allah kita tahu bagaimana nak mentadbir. Kita tunggulah … yang paling penting sekali adalah kita nak pastikan bahawa rakyat terjaga,” katanya lagi.

Pada PRU-15, penyandang kerusi Parlimen Putrajaya selama empat penggal itu berdepan saingan enam penjuru iaitu Datuk Dr Radzi; calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Datuk Mohd Rosli Ramli; calon Pakatan Harapan (PH), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz serta dua calon bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.