Pilih Yang Ada ‘Track Record’ Baik, Bukannya Parti Manipulasi – ADUN Kuala Linggi

MASJID TANAH, 9 Nov – Rakyat perlu buat pilihan dengan memilih parti yang ada ‘track record’ dan bukannya parti yang sekadar bijak memanipulasi isu sepertimana pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah berkata pada PRU lalu pelbagai fitnah dan tohmahan dilontarkan kepada Barisan Nasional (BN) yang menyebabkan parti itu tewas dan akhirnya negara berada dalam keadaan yang tidak stabil.

Jelas beliau selama 22 bulan memerintah, rakyat akhirnya bukan sahaja dapat melihat malah turut merasai bagaimana berada di bawah kerajaan yang diterajui parti lain selepas tumbangnya BN pada PRU14.

“Sekarang ini masyarakat dapat lihat dalam masa 22 bulan apabila Pakatan Harapan (PH) memerintah… mereka hanya sekadar mahu menerajui negara semata-mata… perancangan tidak ada akhirnya negara kita lintang-pukang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berkempen bersama-sama dengan calon BN Parlimen Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid di DUN Kuala Linggi.

Kata beliau lagi, Alhamdulillah hari ini masyarakat rata-rata telah membuka mata dengan segala perkembangan yang berlaku.

“Apabila berlakunya fitnah pada PRU yang lalu menyebabkan BN runtuh dan seterusnya diambil oleh pembangkang yang secara tidak langsung 22  bulan tidak ada janji yang ditunaikan menyebabkan masyarakat mula membuka mata… apakah selama ini mereka tertipu atau selama ini terpedaya dengan janji yang dibuat.

“Insya-Allah hari ini pada PRU15… peluang sudah berada di depan mata dan masing-masing boleh buat penilaian mana yang terbaik buat mereka.

“Begitu jugalah di Parlimen Masjid Tanah ini.. saya amat berharap agar pengundi dapat pilih parti yang boleh melaksanakan segala perancangan dan betul-betul berkhidmat untuk masyarakat selain boleh menstabilkan senario politik negara.

“Apa pun jelas BN terbukti selama ini dan kerajaan Melaka yang ditunjangi BN menjadi contoh terbaik apabila dapat perintah dengan dua pertiga majoriti… yang secara tidak langsung membolehkan kerajaan negeri dapat melaksanakan pelbagai program serta dasar yang sebaiknya untuk rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.