Bukan Sekadar Janji Manifesto, BN Bukti Pencapaian – Fathul Bari

TANJUNG BIDARA, 8 Nov – Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya menyifatkan kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kini memasuki fasa kedua dengan gerak kerja jentera yang semakin tersusun, terancang dan bersepadu.

Menurut beliau, perkembangan kempen yang semakin rancak itu turut disusuli penerimaan positif masyarakat terhadap manifesto serta rekod pencapaian pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh sepanjang perkhidmatannya.

Ujarnya, pencapaian yang telah direalisasikan kerajaan negeri menjadi antara perkara yang diketengahkan dalam kempen BN, selain komitmen untuk meneruskan agenda pembangunan yang masih dalam perancangan.

“Alhamdulillah… kempen BN memasuki fasa kedua semakin meningkat dan bertambah rancak. Apa yang kita lihat, gerak kerja jentera dilaksanakan secara tersusun, terancang dan bersepadu.

“Setakat ini, penerimaan masyarakat terhadap manifesto serta hasil kerja kerajaan negeri amat positif. Kita bukan sekadar bercakap tentang janji, tetapi turut membawa bukti pencapaian yang telah dilaksanakan di bawah kepimpinan Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya kepada UMNO Online, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata pencapaian sedia ada tidak seharusnya menjadi alasan untuk kerajaan negeri berpuas hati, sebaliknya perlu dijadikan asas untuk memperhebat usaha pembangunan demi kepentingan rakyat.

“BN mempunyai perancangan lebih besar untuk dilaksanakan sekiranya diberikan mandat baharu, termasuk menyempurnakan pelbagai agenda yang belum sempat direalisasikan dalam tempoh pentadbiran sebelum ini.

“Kita tidak boleh kekal pada tahap pencapaian yang ada. Kalau kita sudah mempunyai hasil kerja yang baik, kita perlu melakukan lebih baik lagi.

“Berikan ruang dan mandat kepada BN untuk meneruskan perancangan ini. Bukan sekadar satu penggal, tetapi kita mahu terus membuktikan komitmen melalui pelaksanaan agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat,” tegasnya.

Tambah beliau, kesinambungan pentadbiran penting bagi memastikan setiap perancangan yang telah dirangka dapat diteruskan, diperkasakan dan diterjemahkan kepada hasil yang lebih menyeluruh untuk rakyat Melaka. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO