Pentas Gelombang Biru Satukan Pimpinan BN-PN Di Kesemua 28 DUN Melaka
MELAKA, 8 Nov – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bakal berkongsi pentas menerusi program Pentas Gelombang Biru yang akan diadakan secara serentak di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka, esok.
Program yang dijadualkan berlangsung pada 9 November, jam 8.30 malam itu akan menampilkan pimpinan BN dan PN di kawasan DUN masing-masing sebagai platform memperlihatkan kerjasama politik kedua-dua gabungan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Penerangan UMNO Negeri Melaka, Datuk Rohazam Bakar berkata, penganjuran serentak itu menjadi medan menghimpunkan pimpinan serta jentera parti di setiap kawasan DUN menerusi satu pentas bersama.
Ujarnya, pendekatan tersebut juga memperlihatkan kerjasama BN-PN yang bukan sahaja diterjemahkan di peringkat kepimpinan, malah digerakkan secara bersama di lapangan sepanjang tempoh kempen PRN Melaka.

“Pentas Gelombang Biru ini menjadi ruang untuk pimpinan BN dan PN bertemu serta berkongsi pentas di setiap kawasan DUN. Ia memperlihatkan kesepakatan dan kerjasama yang sedang dibina dalam menghadapi PRN Melaka.
“Pelaksanaan secara serentak di 28 DUN juga mencerminkan penyelarasan gerak kerja di semua kawasan, selain menghimpunkan jentera dan penyokong kedua-dua gabungan,” katanya.
Menurut Rohazam, program berkenaan dijadualkan bermula pada jam 8.30 malam, manakala lokasi penganjuran di setiap DUN akan dimaklumkan oleh pihak penganjur masing-masing.
“Penganjuran Pentas Gelombang Biru ini merupakan antara program kempen PRN Melaka yang mengetengahkan kerjasama BN dan PN menerusi penglibatan pimpinan kedua-dua gabungan di peringkat kawasan. Inilah kerjasama dan muafakat yang dibentuk demi kesatuan rakyat keseluruhan,” katanya lagi yang menyeru oaring ramai untuk turut bersama menjayakannya. – UMNO Online
