Isu Titah Pengampunan : UMNO Perlis Buat Laporan Polis
KANGAR, 8 Nov – UMNO Perlis hari ini membuat laporan polis berhubung isu penangguhan sementara pelaksanaan titah pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkaitan baki hukuman penjara Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melalui tahanan rumah.
Laporan dibuat oleh Setiausaha Kerja UMNO Perlis, Saidi Ahmad@Dokeh di Balai Polis Kangar, di sini.
Menerusi laporan tersebut, beliau percaya bahawa Peguam Negara tidak mempunyai sebarang kuasa di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan penangguhan perlaksanaan kepada Titah Pengampunan tersebut dan juga Perintah Mahkamah tersebut.
“Kuasa Peguam Negara hanyalah terhad kepada menasihati Kerajaan dan memulakan prosiding jenayah di mahkamah terhadap mana-mana individu sepertimana diperuntukkan di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.
Beliau seterusnya menggesa agar pihak Polis melakukan siasatan sewajarnya berhubung perkara berkenaan.- UMNO Online
