Gantung Pelaksanaan Titah Agong Tidak Wajar

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berpandangan bahawa membiarkan pelaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tergantung tanpa menyatakan asas undang-undang adalah tidak wajar bagi seorang Peguam Negara.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar turut mempersoalkan atas kuasa apa pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan setelah denda RM50 juta dibayar pada Jumaat.

“Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan bahawa mereka menghormati titah YDPA dan mahu mahkamah menjelaskan kesan Perintah Pelepasan bertarikh 6 November 2026 terhadap baki hukuman SRC serta tarikh bermulanya hukuman 1MDB. Jika penjelasan diperlukan, rujuk segera kepada mahkamah. Tetapi persoalannya tetap sama. Atas kuasa apa pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan sementara menunggu penjelasan itu?

“Denda RM50 juta telah dibayar sepenuhnya. Menurut peguam Najib, proses pelepasan dari Penjara Kajang bagi menjalani tahanan rumah sudah bermula ketika kenyataan AGC dikeluarkan. Istana Negara pula menegaskan bahawa semua syarat pengampunan telah dipenuhi.

“Malah, menurut AGC sendiri, Perintah Pelepasan menyatakan baki hukuman hendaklah dijalani di rumah hingga 23 Ogos 2028. Jika perintah yang sama menyebut dengan nyata cara baki hukuman perlu dijalani, bahagian mana yang menyokong tafsiran bahawa hukuman SRC sudah tamat?” soalnya.

Mengulas lanjut, beliau juga menegaskan bahawa jika pelaksanaan titah terus dihalang tanpa asas undang-undang yang sah, ia merupakan satu penderhakaan.

“Kenyataan lima muka surat AGC menerangkan mengapa ia mahu mendapatkan penjelasan. Namun, dua soalan masih belum dijawab. Adakah permohonan sudah difailkan? Adakah mahkamah sudah mengeluarkan perintah penangguhan? Jika terdapat perintah lain yang masih berkuat kuasa dan menjadi asas Najib terus ditahan di Kajang, nyatakan perintah yang mana.

“Sudah tujuh minggu sejak pengampunan bersyarat diperkenankan. Kini Istana Negara sendiri sampai perlu mengeluarkan kenyataan yang begitu tegas untuk menjelaskan maksud titah dan mengingatkan bahawa mempertikaikan perintah itu menjurus ke arah mengingkari titah YDPA.

“Pada hemat saya, jika pelaksanaan titah terus dihalang tanpa asas undang-undang yang sah, tindakan itu suatu penderhakaan terhadap titah Tuanku dan penghinaan terhadap keluhuran Perlembagaan. Membiarkan pelaksanaan titah tergantung tanpa menyatakan asas undang-undangnya tidak wajar bagi seorang Peguam Negara.

“Saya menyokong tuntutan supaya titah Tuanku dilaksanakan serta-merta. Jika Peguam Negara tidak dapat menunjukkan asas undang-undang yang sah bagi penangguhan ini, beliau wajar bertanggungjawab dan meletakkan jawatan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO