Parlimen Alor Setar: Pertembungan Tujuh Penjuru Beri Kelebihan Pada BN

KEDAH, 9 Nov – Pertembungan tujuh penjuru di Parlimen Alor Setar akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) berikutan perpecahan undi kaum Melayu yang diramalkan akan berlaku selain pengundi Cina yang akan kembali kepada gabungan itu.

Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, ini kerana ramai pengundi Melayu yang akan menyokong parti itu, ditambah pula undi Cina yang dilihat akan berpihak kepada calon yang diletakkan iaitu daripada parti MCA.

“Kali ini ada sedikit kelainan berbanding PRU (Pilihan Raya Umum) lepas, kalau PRU14 ada pertandingan tiga penjuru sahaja. Pada kali ini melihat ada pertambahan kerana selain BN ada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Gerakan Tanah Air (GTA), Warisan dan bebas.

“Jadi tiga daripada empat gabungan ini adalah parti berteraskan Melayu, kita jangka ada sedikit perpecahan dalam undi Melayu. Tetapi kita tengok kelebihan nampak ramai penyokong MCA hadir dan kita juga yakin orang Cina akan kembali kepada BN,” katanya.

Selain Chee Hiong, enam calon lain mencuba nasib berentap di Parlimen Alor Setar termasuk Simon Ooi Tze Min (PH-PKR); Afnan Hamimi Taib Azamudin (PN/Pas), Datuk Mohamad Nuhairi Rahmat (GTA/Pejuang) dan Datuk Fadzil Hanafi (Warisan).

Tidak ketinggalan dua calon bebas iaitu Datuk Nordin Yunus yang merupakan bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah dan Sofan Feroza Md. Yusup mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Dalam pada itu, Mohd. Yusof turut berkata, UMNO berikrar untuk membantu kemenangan BN yang diwakili rakan komponen iaitu MCA pada PRU15 di Parlimen Alor Setar.

Meskipun tidak tersenarai untuk menjadi calon kali ini, beliau berkata jentera UMNO di Parlimen tersebut sudah digerakkan sejak seminggu lalu bagi menggempur Alor Setar termasuk kubu lawan.

“Kita sebagai orang parti ini akan akur apabila pucuk pimpinan sudah buat keputusan (pemilihan calon). Kita akan terus membantu BN sehingga memenangi Alor Setar. Jentera sudah digerakkan dan lepas ini kita terus gempur untuk pastikan semua undi berpihak kepada BN,” katanya.

Pada PRU14, Parlimen Alor Setar dimenangi oleh Chan Ming Kai daripada PKR setelah mengalahkan calon BN, Yoo Wei How dan Aminur Shafiq daripada Pas dengan majoriti 15,200 undi.

Namun, Ming Kai digugurkan dalam pencalonan kali ini setelah PH memilih untuk mengetengahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.