Manifesto BN Bukan Populis… Kota Apa Dikata, Mereka Yang ‘Hancing’ – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 9 Nov – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bukan populis.

Beliau yang merupakan calon BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Putrajaya berkata demikian sebagai membidas dakwaan calon lawan iaitu Datuk Dr. Radzi Jidin dari Perikatan Nasional (PN) yang mengatakan bahawa manifesto BN bersifat populis.

“Manifesto BN bukan populis kerana BN kota akan apa yang dikata… sedangkan parti mereka apa yang dikotakan? ‘Hancing’…,” katanya yang merujuk kepada janji-janji menerusi manifesto dari Pakatan Harapan (PH) pada PRU ke-14 lalu yang tidak ditunaikan.

Dalam PRU14, Radzi mewakili PH bertanding di Parlimen Ketereh namun tewas dan hilang deposit, namun dilantik menjadi Senator dan menteri apabila PH menjadi teraju kerajaan.

Terdahulu Tengku Adnan telah menyantuni orang ramai di pasar malam Presint 2, petang semalam malah beliau beramah mesra dengan peniaga dan orang ramai walaupun hujan renyai.

Katanya ini bukanlah kali pertama beliau yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Putrajaya ke pasar malam terbabit, namun kali ini tentunya berbeza kerana kunjungan tersebut dilakukan dalam suasana sempena kempen PRU15 yang akan diadakan pada 19 Nov nanti.

Tengku Adnan berkata beliau berhasrat untuk menambah bilangan hari pasar malam yang menjual pelbagai jenis makanan dan barangan basah itu kepada tiga kali seminggu.

“Pasar malam ini yang pentingnya adalah alternatif untuk rakyat datang membeli dengan harga murah,” katanya yang menambah perjalanan kempen ketika ini amat baik.

Parlimen Putrajaya menyaksikan pertembungan enam penjuru antara BN, PN, PH) Pejuang dan dua calon Bebas.
Selain Tengku Adnan dan Radzi, mereka ialah Mohd Rosli (GTA-Pejuang), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH-PKR) serta dua calon Bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.