PRU15: Hasni Tolak Debat Dengan Maszlee, Berdialog Dengan Rakyat Lebih Bermanfaat

KLUANG, 6 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Simpang Renggam Datuk Seri Hasni Mohammad menolak pelawaan berdebat dengan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Maszlee Malik kerana bagi beliau, mengadakan sesi dialog bersama rakyat di kawasan itu adalah lebih bermanfaat.

Pengerusi BN Johor itu berkata mengadakan sesi dialog bersama kepimpinan daerah, masyarakat setempat serta orang kampung adalah lebih baik dan tiada keperluan untuk berdebat dengan lawan sewaktu tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 ini.

“Saya rasa orang Simpang Renggam pun tidak berminat nak dengar (perdebatan) ini,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi pusat daerah mengundi di Taman Desa Sejahtera di sini hari ini.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata persetujuan beliau sebelum ini untuk menyertai perdebatan secara terbuka yang dipelawa Maszlee adalah pada masa hadapan.

Semalam, penyandang Parlimen Simpang Renggam itu mengajak Hasni, calon Perikatan Nasional (Mohd Fazrul Kamat) dan calon Gerakan Tanah Air (Kamal Kusmin) berdebat sebelum hari pengundian.

Mengulas tawaran Maszlee untuk mewujudkan hab pendidikan di Simpang Renggam seperti politeknik dan universiti, Hasni menasihati calon PH itu agar tidak menjanjikan perkara sebegitu kepada penduduk.

“Menaik taraf infrastruktur lebih penting untuk penduduk di sini. Sekiranya aspek logistik diperbaiki, kedudukan strategik Simpang Renggam akan membolehkan banyak pembangunan atau program dirancang di sini dan antaranya adalah sektor pendidikan,” katanya.

Hasni juga berkata beliau akan menumpukan kepada soal pembangunan infrastruktur kerana kawasan itu memerlukan perubahan yang signifikan.

Terdahulu, selepas mengadakan tinjauan di Pasar Pagi Simpang Renggam, Maszlee memaklumkan beliau akan berusaha mewujudkan sebuah hab pendidikan di kawasan itu yang merupakan kesinambungan usahanya semasa menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan sebelum ini.

“Pada era pemerintahan PH, sudah ada perancangan untuk menjadikan Simpang Renggam sebagai hab pendidikan namun usaha itu tergendala selepas kejatuhan PH,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.