Dap Hina Institusi Diraja… Jelas Mereka Biadap, Bidas Nizar Najib

PEKAN, 31 Okt – Kenyataan penyandang kerusi Parlimen Raub dari parti Dap, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang menghina institusi Diraja Pahang ketika menyampaikan ceramah politik baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa parti itu anti raja, Islam dan Melayu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib berkata, tindakan tersebut amat biadap kerana tidak sepatutnya beliau mengheret sekali institusi diraja ke dalam kancah politik.

“Kami amat kecewa dan kesal dengan tindakan Tengku Zulpuri ini sebenarnya. Bagi saya, itu merupakan satu tindakan yang amat biadap sekali. Tidak sepatutnya beliau mengheret sekali institusi Diraja yang kita sayangi ke dalam kancah politik. Kalau marah sekalipun, janganlah melibatkan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang kita kasihi.

“Apabila dia buat kenyataan bodoh sebegitu, betullah tanggapan orang bahawa mereka (Dap) ini anti raja, anti Melayu dan anti Islam. Berani buat, berani tanggung. Saya harap beliau akan terima padahnya di Lipis tempat dia bertanding,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mengingatkan rakyat supaya mengundi dengan bijak dan jangan terpedaya dengan janji palsu pihak lawan.

“Saya mengharapkan pengundi supaya mengundi dengan bijak. Kita dah berikan pihak pembangkang (Pakatan Harapan) peluang untuk mentadbir pada 2018. Bukan kita tak pernah berikan mereka peluang.

“Tetapi malangnya apa yang kita dapat ialah janji-janji palsu yang tidak ditunaikan sama sekali seperti PTPTN, terpaksa dibayar juga, begitu juga dengan tol. Pelbagai alasan mereka berikan termasuklah ‘manifesto bukan kitab suci’.

“Sepanjang empat tahun ini Malaysia melalui satu tempoh yang tidak stabil apabila para pelabur dari luar negara pun tidak yakin untuk membuat pelaburan di negara tercinta ini. Jadi, cukuplah sekali kita tertipu, jangan biarkan pisang berbuah dua kali. Pilihlah UMNO/Barisan Nasional (BN),” katanya lagi.

Pada minggu lalu, tular klip video yang memaparkan bahawa penyandang kerusi Parlimen Raub dari parti Dap, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang dikatakan menghina institusi diraja Pahang apabila mengaitkan istana Pahang dengan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setakat Khamis lalu, media melaporkan sebanyak 28 laporan polis telah diterima ke atas Tengku Zulpuri dan pihak polis sedang menyiasat semua laporan berkenaan. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.