Kumpulan Anak Johor Ditipu Selamat Tiba, Jangan Mudah Terpedaya Sindiket Pekerjaan – Hairi

JOHOR BAHRU, 30 Okt – EXCO Belia dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah mengingatkan kumpulan belia negeri itu untuk tidak mudah terpedaya dengan sebarang iklan atau tawaran pekerjaan yang menjanjikan gaji lumayan di luar negara.

Beliau yang turut menyambut ketibaan tujuh anak negeri tersebut yang menjadi mangsa sindiket pekerjaan berpengkalan di Kemboja di KLIA2 malam tadi seterusnya berkata pihaknya melahirkan rasa syukur apabila masing-masing selamat kembali ke pangkuan keluarga.

“Alhamdulillah, semua tujuh anak Johor yang menjadi mangsa penipuan sindiket pekerjaan berpengkalan di Kemboja selamat tiba di KLIA2 jam 12 tengah malam tadi. Selepas proses memberi keterangan kepada pihak polis di lapangan terbang, dua daripada mereka pulang bersama keluarga dan seorang lagi masih bersama pihak polis untuk memberi keterangan. Semua empat yang lain selamat tiba di Johor Bahru jam 9.15 pagi tadi.

“Terima kasih kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengambil serius dan memantau secara dekat misi membawa pulang kesemua tujuh anak Johor yang diamanahkan kepada saya. Alhamdulillah, misi membawa pulang dipermudahkan dan Kerajaan Johor menanggung semua perbelanjaan yang menelan belanja hampir RM15,000,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Hairi yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam misi berkenaan.

“Terima kasih juga kepada NGO Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) yang membantu mengurus membawa pulang semua mereka dengan kerjasama Pihak Kedutaan Malaysia di Kemboja.

“Saya juga mengingatkan kumpulan Belia Johor untuk tidak mudah terpedaya dengan sebarang iklan atau tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan. Insya-Allah, saya akan memantau secara dekat perkembangan mereka yang telah dibawa pulang ini dan membantu mendapatkan pekerjaan menerusi Unit Strategik Modal Insan Negeri Johor,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.