Gabungan Politik Selain BN Takut Bayang Sendiri Kerana Kezaliman Pernah Dilakukan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 30 Okt – “Ketahuilah gabungan politik selain Barisan Nasional (BN) sedang `takutkan bayang-bayang sendiri’ kerana kezaliman pernah mereka lakukan terhadap pemimpin BN, maka sedang terdesak apa sahaja.”

Demikian tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung situasi politik semasa.

Justeru, soalnya, jujurkah gabungan-gabungan politik ini memasuki arena PRU15 untuk berkhidmat kepada rakyat atau semata-mata ketagih kuasa dan bimbangkan kemenangan BN.

“Ingatlah kestabilan serta kemakmuran amat-amat mustahak diperoleh pada PRU kali ini bagi menjamin masa depan negara dan anggota masyarakatnya. Dunia diramalkan berdepan kemelesetan ekonomi global tidak lama lagi, maka nasib Malaysia dan anggota masyarakatnya tidak lagi boleh dipertaruh pada ketidakstabilan.

“Usaha dan rancangan Malaysia untuk bangkit sepenuhnya daripada impak pandemik juga tidak akan dapat dijayakan tanpa kestabilan dan kemakmuran. Saksikan gabungan politik selain BN sehingga hari ini masih bercelaru dan tiada hala tuju yang jelas untuk rakyat dan negara dalam memasuki gelanggang PRU,” katanya yang juga Pengerusi BN menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Kata Ahmad Zahid, cara berkempen dan cerita politik mereka masih berkisar pada politik kebencian, dendam, fitnah, manipulasi serta personaliti dan akan disusuli dengan janji-janji palsu sama seperti PRU yang terdahulu.

“Cukup-cukup sudah, zaman dah berubah, bukan masanya lagi, seluruh rakyat Malaysia dah tahu dan faham cara lama yang masih di pakai berterusan oleh mereka,” katanya.

Sebab itu ujar Ahmad Zahid, mereka masih tercari-cari ruang sesama mereka untuk ‘berkomplot’ semula walaupun pernah saling mentohmah dan memburuk-burukkan selepas berpecah-belah.

“Sedangkan fokus BN sejak dulu, kini dan selamanya dalam mendepani PRU adalah peluang mentadbir semula negara sebaik mungkin demi Malaysia dan rakyatnya.

“Fahamilah BN satu-satunya harapan untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran yang akan memanfaatkan setiap anggota masyarakat tanpa mengira ideologi politik.”

Ujarnya, memberi kemenangan kepada BN akan menyampaikan mesej yang jelas kepada dunia bahawa rakyat Malaysia termasuk penyokong parti lain lebih mengutamakan negara berbanding politik.

“Semoga yang belum pernah menyokong BN dapat mengenepikan sentimen politik dan bersama mengundi BN pada 19 November 2022 ni nanti Insya-Allah. Rakyat tanpa mengira fahaman pollitik harus bersama BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) demi mengembalikan kestabilan dan kemakmuran di Malaysia.

“Tidak mengapa jika anda sebelum ini bukan ahli dan bukan penyokong kepada BN yang amat berjasa kepada tanah air, tetapi demi Malaysia sahutlah seruan kesepakatan ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.