PRN Melaka: Solidariti Bawa Kejayaan, Pemimpin BN Janji Tunai Manifesto

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Semangat solidariti yang ditunjukkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15, telah membawa kejayaan cemerlang kepada pakatan itu, hingga menawan dua pertiga daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Menyampaikan ucapan tahniah kepada calon dan kepimpinan BN, Ketua UMNO bahagian Ketereh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, kini masanya untuk kesemua calon yang menang menumpukan pula khidmat mereka kepada rakyat.

“Tahniah seluruh jentera BN yang berpadu dan bersolidariti memenangkan parti dan menguasai secara mutlak PRN MELAKA. Terima kasih semua jentera dan para pengundi Melaka,” katanya dalam catatan di media sosialnya sebaik BN diumumkan menang pada PRN berkenaan.

Daripada 28 kerusi dipertandingkan, BN yang diwakili UMNO, MCA dan MIC memenangi 21 kerusi, Pakatan Harapan (lima), manakala Perikatan Nasional (dua).

Selain Annuar, pemimpin-pemimpin BN lain turut mengambil kesempatan menyampaikan ucapan tahniah melalui media sosial.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan kemenangan BN sebagai kesinambungan kepada kerja kuat, kesungguhan dan komitmen dari seluruh peringkat, dari akar umbi sehingga ke pimpinan tertinggi.

“Ia juga bukti bahawa rakyat kembali meyakini BN sebagai parti yang membawa kestabilan, parti yang menjamin kemakmuran dan paling penting, parti yang rakyat mahukan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata kemenangan itu bagaimanapun bukan untuk diraikan semata-mata, namun ia tanda turunnya tanggungjawab yang amat besar kepada BN untuk terus berkhidmat demi rakyat Melaka.

“Amanah ini akan kami sentiasa jaga demi masa depan negeri Melaka,” katanya.

Turut senada, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang berkata bahawa kemenangan besar ini akan dibalas, dengan memastikan BN terus memimpin negeri Melaka menjadi sebuah negeri yang bersejarah dan terbilang.

“Terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada BN. Penghargaan juga kepada semua pengundi yang turut yakin dengan kemampuan calon-calon wanita BN, dengan memberi kemenangan kepada mereka,” kata Menteri Pengajian Tinggi itu.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang memberikan kepercayaan kepada calon muda diketengahkan UMNO, di mana kesemua empat wakil Pemuda UMNO yang bertanding menang di Dun Asahan, Dun Duyong, Dun Paya Rumput dan Dun Merlimau.

Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong memberi jaminan bahawa, BN akan pastikan janji manifesto ditunaikan untuk manfaat rakyat dan negeri Melaka.

Bagi MCA, kata Menteri Pengangkutan berkenaan, kejayaan merampas dua kerusi daripada Pakatan Harapan satu pencapaian yang membanggakan.

“Diharapkan momentum ini akan berterusan dan kami akan terus melipatgandakan usaha,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.