Kembalikan Mandat Kepada Rakyat Adalah Keputusan Bersama – Hasni

PAGOH, 7 Feb – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata keputusan mengadakan pilhan raya negeri (PRN) adalah atas kesedaran rakyat negeri itu berhak mendapat kerajaan yang lebih stabil dan ia melibatkan keputusan bersama.

Kata Ketua Penyelaras PRN itu, negeri Johor perlu lebih baik dari apa yang ada hari ini dan perlu kembali kepada zaman kegemilangannya.

“Sebab itu untuk membuat keputusan agar dikembalikan semula mandat kepada rakyat ini adalah keputusan bersama. Kita tidak didesak oleh mana-mana pihak untuk membuat keputusan perlu diadakan pilihan raya ini, tetapi di atas kesedaran bahawa Johor ini perlu menjadi lebih baik.

“Kalau saya dan rakan-rakan hanya hendak duduk bersenang-senang akan terus duduk 481 hari. Duduk di kerusi besar, lembut kerusinya, percayalah… boleh saja saya tunggu 481 hari sehingga tamat tempoh pilihan raya perlu diadakan.

“Atas nasihat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, berbincang dan melihat pelbagai perkara yang hilang dan sekiranya ditangguh banyak kerugiannya. Maka akhirnya keputusan PRN tidak boleh dilengah-lengahkan dan sebab itu pada 22 Januari terbubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika pelancaran jentera BN Zon Utara PRN Johor 2022 di Dewan Seri Pekembar di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr Wee Ka Siong, Naib Presiden MIC, Datuk M. Asojan serta Pengerusi-pengerusi ‘Friends of BN’.

Seterusnya, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri turut bertanggungjawab memastikan polar masyarakat di antara kaum-kaum yang ada perlu dicerminkan di dalam DUN sebagai penggubal undang-undang.

“Ini adalah satu perkara yang sangat penting bagi negeri Johor untuk terus menjadi negeri yang penting dalam negara dan dapat menyumbang besar kepada kemajuan negara.

“Ekonomi negeri Johor sudah mula merosot, dulu pelaburan Johor adalah numbor satu ataupun dua, pelaburan luar negara sudah mula menurun dan Johor berada di tangga ke lapan. Kalau tunggu lagi 481 hari dan akan kerugian yang lebih besar,” ujarnya.

Tambah Ketua UMNO Bahagian Pontian itu, apabila membuat keputusan mengadakan pilihan raya di peringkat negeri maka perlu menghantar mesej kepada masyarakat.

“Kita perlu berjumpa setiap pengundi untuk menyatakan bahawa Johor perlu kerajaan yang stabil, kuat untuk terus membawa dan memajukan negeri Johor ini ke peringkat dan persada yang disegani.

“Kita ada misi, matlamat dan perjelaskan kepada pengundi dan berharap setiap seorang dan tidak terkecuali untuk melakukan yang terbaik pada PRN pada kali ini,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.