‘BN Perlu Menang Cemerlang PRN Melaka, Perkukuh Majoriti’

MASJID TANAH, 28 Okt – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pilihan raya penting sebagai penentu kepada masa depan generasi akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka berkata untuk itu seluruh jentera BN supaya memperkukuh semangat perjuangan dan berusaha merampas semula kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

“Pilihan raya ini bukan perkara main-main. Perkara ini adalah jabatan masa depan anak cucu, yang kita bina memastikan bahawa mereka dapat mewarisi apa yang sedang diperjuangkan sekarang.

“Kita datang pada malam ini sebagai pejuang parti, datang dengan rela hati, datang untuk menjadi pembela kepada bangsa dan juga parti BN.

“Kita mesti datang dengan satu semangat… tidak mampu tewas lagi sekali. Kita tidak mampu kalah kali kedua ataupun kali ketiga. Kita mesti rampas semula (Parlimen Masjid Tanah).

“Selepas menang pilihan raya, kita jangan ingat kita menang, kita hendak duduk tenang, sebab Pilihan Raya Umum sedang mengintai kita dalam masa yang terdekat ini,” katanya.

Rauf berkata demikian ketika berucap Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Masjid Tanah yang dirasmikan, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, beliau berkata BN perlu menang dengan cemerlang, khususnya dengan memperoleh majoriti yang lebih besar berbanding kemenangan terdahulu.

Katanya, jentera parti perlu bekerja lebih keras bagi memastikan kemenangan BN kali ini dicapai dengan majoriti yang jauh lebih kukuh.

“Kita mesti menang dengan cemerlang. Kalau dulu majoriti kecil, kali ini buat kerja supaya menang dengan majoriti yang jauh lebih ketat.

“Bantu Presiden UMNO yang telah menghadapi seribu satu cubaan dan dugaan untuk mempertahankan UMNO selepas kalah pada tahun 2018.

“Kalau orang datang, dia hendak beri gula-gula, ambil tapi tetap undi BN. Jangan ubah lagi. Kita angkat bendera BN, tunjukkan bahawa taat setia kepada parti BN,” ujar beliau.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Dalam pada sama turut disaksikan penyerahan negeri angkat, Selangor dan Negeri Sembilan untuk ditugaskan membantu jentera BN di Parlimen Masjid Tanah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO