BN Sayang Rakyat, Terus Semarakkan Gelombang Biru Di Melaka
MELAKA, 28 Okt – Semangat BN Sayang Rakyat terus menjadi antara mesej utama Barisan Nasional (BN) dengan menyemarkkan ‘Gelombang Biru’ dalam usaha mendekati masyarakat serta memperkukuh persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Muhammed Hafiz Tengku Adnan berkata, kekuatan BN bukan sekadar bergantung kepada jentera pilihan raya, sebaliknya turut ditentukan oleh keupayaan parti membina keyakinan rakyat menerusi khidmat, kesungguhan dan komitmen yang berterusan.
Beliau berkata, semangat BN Sayang Rakyat perlu diterjemahkan melalui tindakan nyata, bukannya sekadar slogan, dengan memastikan setiap lapisan masyarakat merasai kehadiran parti dalam membantu menyelesaikan permasalahan mereka.
“BN Sayang Rakyat bukan sekadar slogan untuk pilihan raya. Ia mesti dibuktikan melalui gerak kerja, khidmat dan kesungguhan kita mendekati rakyat.
“Gelombang Biru perlu diteruskan dengan semangat perpaduan, kesepaduan jentera dan kesediaan untuk bekerja lebih kuat demi mendapatkan kepercayaan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, seluruh jentera BN perlu memanfaatkan tempoh menjelang PRN Melaka untuk memperkukuh hubungan dengan masyarakat, mendengar keluhan mereka serta menyampaikan maklumat mengenai usaha dan perjuangan parti secara berkesan.
Katanya, pendekatan yang mesra rakyat dan konsisten amat penting bagi memastikan BN terus relevan sebagai wadah perjuangan yang mengutamakan kestabilan, kesejahteraan dan masa depan rakyat.
Beliau turut komited untuk sama-sama turun padang selaku jentera Pemuda UMNO dengan bergerak secara tersusun melalui mesej yang jelas, selain mengoptimumkan penggunaan platform digital tanpa mengabaikan pendekatan bersemuka.
“Rakyat mahu melihat kesungguhan dan hasil kerja. BN aada bukti dan trek rekod malah kita tidak hanya muncul apabila pilihan raya semakin hampir, sebaliknya sentiasa berada bersama rakyat.
“Jika kita terus bersatu, memperkemas gerak kerja dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, Gelombang Biru akan terus mempunyai kekuatan untuk melangkah ke hadapan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera Pemuda dan BN supaya terus memperkukuh semangat berpasukan, mengelakkan perpecahan serta memberikan tumpuan kepada usaha meraih kepercayaan pengundi.
Menurutnya, perjuangan BN Sayang Rakyat perlu digerakkan secara berterusan dengan memastikan setiap usaha politik berpaksikan keperluan masyarakat.
“Teruskan Gelombang Biru, rapatkan saf dan jangan sesekali menjauhkan diri daripada rakyat. Kepercayaan tidak datang dengan sendiri, tetapi perlu dibina melalui kerja keras dan komitmen yang berterusan,” katanya lagi yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya. – UMNO Online
