Rumah, Infrastruktur Di Kawasan Felda Sentiasa Diambil Perhatian K’jaan Johor

JOHOR BAHRU, 6 Mac – Rumah untuk generasi kedua dan infrastruktur di kawasan Felda menjadi antara perkara yang diambil perhatian secara berterusan oleh Kerajaan Negeri Johor bagi memastikan pembangunan dan keperluan kumpulan itu terus terpelihara.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor yang baharu ditubuhkan, kerajaan negeri komited untuk membangunkan kawasan perumahan di bandar dan luar bandar terutamanya memenuhi keperluan golongan B40 dan M40 serta menjangkaui ke kawasan Felda.

“Saya komited untuk menyantuni generasi kedua Felda. Di dalam Ikhtiar Barisan Nasional (BN) (bagi Pilihan Raya Negeri Johor), kita sudah nyatakan komitmen kita untuk menyediakan sehingga 3,200 lot generasi maknanya lot bagi perumahan yang dihasratkan oleh generasi kedua.

“Ini adalah satu perkara yang saya percaya dapat memenuhi hasrat mereka yang berada di kawasan Felda di Johor ini kerana Johor (mempunyai) kawasan Felda yang kedua terluas dalam negara, maka perlu juga kita ambil kira, perlu juga kita ambil langkah-langkah yang sewajarnya,” katanya yang juga Pengerusi BN Johor.

Hasni berkata demikian ketika ditanya moderator Irfan Faruqi ketika hadir sebagai tetamu jemputan Program Suara Johor yang diterbitkan Bernama TV hari ini.

Selain itu, kerajaan negeri sebelum ini telah memperuntukkan RM30 juta ketika menyelenggara jalan serta sistem saliran di kawasan-kawasan Felda bagi memastikan ia sempurna.

“Dalam Ikhtiar Johor ini, saya ‘highlight’ betul-betul, kalau boleh, penyelenggaraan infrastruktur di kawasan Felda ini diserahkan kepada kerajaan negeri.

“Biar kerajaan negeri yang menyelenggaranya, biar kerajaan negeri menguruskan infrastrukturnya kerana kesan daripada kelewatan, kesan daripada permintaan yang lewat ataupun yang cepat dilaksanakan itu, ia memberi impak kepada kerajaan negeri,” tambah Hasni lagi.

Beliau juga menambah BN Johor ada mencadangkan kepada kerajaan Pusat supaya seorang wakil daripada setiap Felda di Johor ini berada dalam Lembaga Pengarah Felda, agar suara peneroka dan keluarga dari kawasan Felda ini dapat diangkat secara langsung serta dapat dipantau dengan lebih berkesan.

“Itu antara beberapa usaha kita untuk memastikan bahawa masyarakat Felda tidak akan kita lupa, malah kita telah beri tumpuan cara mana dan bagaimana untuk kita terus membangunkan kawasan Felda ini,” kata Menteri Besar itu lagi.

Hasni juga melahirkan kesyukuran apabila kerajaan Persekutuan sebelum ini membuat keputusan untuk menghapuskan RM8.3 bilion hutang peneroka. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.