Esok Penentuan Kestabilan Untuk Rakyat Melaka – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hampir tamat dan esok adalah penentuan sama orang Melaka mendapat kerajaan yang stabil dan makmur atau sebaliknya.

Menurut beliau untuk memacu pembangunan yang baik mestilah negeri tersebut mempunyai kerajaan yang mahir mentadbir dan kestabilan turut penting kerana tanpanya kerajaan sukar melaksana dasar yang menguntungkan rakyat.

“Ini adalah peluang bagi orang Melaka untuk menetukan masa depan anda bagi tempoh lima tahun akan datang. Soal kebajikan, pendidikan, pembangunan, hak asasi, suara anak muda dan sebagainya menjadi taruhan jika selepas ini Melaka diperintah oleh parti selain daripada Barisan Nasional (BN).

“UMNO dan BN, kepimpinan telah pun mendengar suara rakyat yang mahukan perubahan dan ‘muka-baharu’ dalam arena politik. Ya, UMNO telah mengotakan janjinya,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Katanya lagi calon BN yang bertanding pada PRN ini hampir semua sahabat dan tahu latar belakang dan mereka ini layak diangkat sebagai wakil masyarakat.

“Calon muda dan muka baru seperti Fairul Nizam, Dr. Akmal, Datuk Rais Yasin, Mohd Noor Helmy dan lain-lain semuanya telah lama berkhidmat untuk komuniti mereka. Tidak kira di waktu susah atau senang, mereka ini sentiasa ada bersama masyarakat.

“Saya mohon orang Melaka berikanlah mereka peluang supaya suara anda semua dapat diangkat ke peringkat tertinggi. Mereka juga setia pada parti dan insya-Allah ini akan mampu membawa kestabilan kepada kerajaan negeri. Nilailah mereka berdasarkan pencapaian dan khidmat bakti mereka. Berikanlah mereka peluang,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.